Umum

Uniknya manusia membentuk ummah

Pernahkah anda menyiapkan jigsaw puzzle yang berjumlah 1000 keping? Pening bukan? Hanya berbekalkan gambar pada muka kotak dan juga keadaan asal kepingan puzzle tersebut, barulah dapat selesai dicantumkan kesemuanya. Bahkan mungkin  mengambil masa hampir seminggu untuk menyelesaikannya.

Jika kita perhatikan, setiap kepingan puzzle mempunyai bentuk yang tertentu. Pada muka depan tercetak sebahagian daripada keseluruhan gambar, juga tidak boleh diletakkan sesuka hati di mana-mana. Yang punyai sisi tegak dan lurus, harus berada di tepi, tidak boleh berada di tengah, begitu juga yang bersisi tidak sekata, tidak boleh diletakkan di tepi. Itu hint yang diberikan.

Akhirnya,  cantuman daripada bentuk yang berbeza, menghasilkan  puzzle yang lengkap dan tersusun rapi.

MEMAHAMI MANUSIA

Manusia juga ibarat puzzle. Setiap daripada kita mempunyai keunikan personaliti yang tersendiri. Berdasarkan kajian, personaliti manusia boleh dikelaskan  kepada empat jenis profil iaitu Popular Sanguine, Perfect Melancholy, Powerful Choleric dan Peaceful Phlegmatic.

Apabila kita mengetahui profil personaliti, kita akan sedar istimewanya diri  dan lebih penting lagi kita dapat menghargai personaliti dan sikap orang lain. Tiada satu profil personaliti yang lebih baik atau lebih buruk. Setiap personaliti mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri.

Ceria bersama Popular Sanguine
Jika ada dikalangan kawan anda yang popular dengan sifat ceria dan “happy go lucky”nya, maka dia memiliki personaliti ini. Kehadiran dia dalam mana-mana majlis pasti akan memeriahkan suasana. Sifat periang, peramah, suka bercerita, berjenaka, menjadi perhatian  merupakan kriteria yang ada pada dirinya. Cuma kelemahannya kadangkala terlalu banyak cakap, mudah terlupa, tidak pandai mengurus, dan tidak serius.

Belajar mengurus dari Perfect Melancholy
Umumnya individu yang mempunyai personaliti ini seorang yang berfikiran tajam, organized dan artistik. Oleh sebab terlalu terperinci dan pentingkan details, kadangkala individu ini mudah mendapat tekanan dan perlu bersendirian. Walaupun begitu, kehadiran mereka sangat diperlukan dalam tugasan mengurus kerana mereka sangat pentingkan kesempurnaan. Malah artis, pemuisi, penulis sajak lahir dari golongan ini.


Berpandangan jauh seperti Powerful Choleric

Kebanyakan pemimpin mempunyai personaliti ini. Mereka jenis yang berani kehadapan, berkeyakinan tinggi, bercita – cita besar dan sukakan cabaran. Lazimnya mereka bijak dalam membuat keputusan dan membuatkan mereka tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Cuma kelemahannya, mereka agak degil, sukar menerima pandangan berbeza dan tidak sensitif terhadap perasaan orang lain.

Relax bersama Peaceful Phlegmatic
Individu yang mempunyai profil ini adalah seorang yang easygoing dan diplomasi. Mereka mudah bergaul dengan semua orang dan mempunyai ramai kawan.  Kehadiran mereka diperlukan untuk mencapai perdamaian antara dua pihak di samping  menjadi pendengar yang baik. Cuma lazimnya mereka tidak sukakan risiko dan cabaran. Lebih suka lakukan perkara yang mudah dan santai.

Jika mahu mengetahui profil personaliti anda, bacalah buku “Personality Plus” tulisan Florence Littauer yang akan memandu anda untuk memahami diri sendiri seterusnya memahami orang lain.

MENGHARGAI KEPELBAGAIAN

Ulasan di atas jelas membuktikan Allah menciptakan setiap individu berbeza personaliti kerana ada hikmah yang besar di sebaliknya. Seorang manusia tidak dapat menghasilkan banyak perkara bila berseorangan. Hasil daripada kerjasama dan sinergi antara manusialah yang menjadikan kehidupan kita lebih jauh bermakna. Ibarat puzzle yang berlainan bentuk, berbeza posisi sekiranya digabung-jalinkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya, akan memberikan satu gambaran baru yang jauh lebih besar, menarik dan jelas.

Jadi berusahalah untuk menghargai keunikan dan perbezaan pada diri anda dan setiap manusia. InsyaAllah dengan kekuatan sinergi itu dapat menghasilkan integrasi dan membuahkan hasil yang optima untuk kebaikan sejagat.

Firman Allah swt “Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang di jalanNya, dalam barisan yang seperti satu binaan yang tersusun rapi.” (Surah As-Saff : 4)

Fikrah dan pemikiran disatukan.

Tenaga dan kemampuan diperhitungkan.

Berjuanglah dalam satu barisan!

Wallahua’lam.

3 thoughts on “Uniknya manusia membentuk ummah

  • Wan Ahmad Wan Khalil

    Post yang menarik. Manusia ni ada banyak ragam. Kepelbagaian lah menghasilkan masyarakat yang saling melengkapi. Ini juga antara sebab manusia mempunyai minat yang berbeza-beza. kalau semua minat nak jadi jurutera je, siapa pula nak jd doktor kan?

    Sebagaimana kita dalam masyarakat adalah saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, janganlah dihina orang yang lebih rendah pangkatnya dari kita. Dan, janganlah kita sampai menyembah orang lagi tinggi kedudukannya dari kita.

    Reply
  • wafeeqah

    jazakallah khalil atas respon yang mendalam. kepada sesiapa yang ingin membaca buku “personality plus”, saya ada satu dalam simpanan. setelah habis baca, mesti rasa kagum dan bersyukur betapa orang lain tak sama seperti anda. =) Memetik kalamullah “Wahai manusia sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak- puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan”(Al hujurat : 13)

    Reply
  • Satu tazkeerah yang menarik utk diteladani semua. Sebab kadang2 kita judge orang lain berdasarkan sesuatu pandangan atau pegangan, sedangkan kita lupa belum tentu kita ni lebih baik dari mereka. Dan betul Allah menciptakan kita tiada yang perfect supaya kita sedar urgency utk hidup bermasyarakat dan taklah mengasingkan diri sahaja.

    Reply

Leave a Reply to wafeeqah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
TwitTarbiah 2009-03-28

first post : tarbiah is about exemplify 'rabb' to be 'rabbani' group of people # do it necessary for everyone

Close