Syukur yang lepas, syukur ke hadapan

“Bolehkah bersyukur perkara yang ada di hadapan ?” tanya salah seorang peserta yang baru diperkenalkan idea Appreciative Inquiry.

“Boleh, dengan syarat syukur dulu apa yang lepas,” saya membalas.

Dalam kaedah Appreciative Inquiry, apa-apa sahaja kejayaan yang lepas perlu dikaji dan ditemui ‘rahsia’nya. Dengan itu, ia boleh digunakan sebagai asas untuk merancang ke hadapan.

Syukur adalah emosi baru yang dimasukkan dalam cendekiawan psikologi. Syukur biasanya dikaitkan apa yang ada. Syukur sering dikaitkan dengan sesuatu yang ‘pernah’ kita peroleh. Ia benar.

Syukur ke hadapan – feedforward

Dalam subjek kejuruteraan kimia sewaktu belajar dahulu, saya diperkenalkan tentang istilah feedforward. Ia ada kaitan dengan ‘tekaan’ kita pada sesuatu yang akan datang berdasarkan data apa yang ada. Feedforward boleh diterjemahkan sebagai tindakbalas ke hadapan.

Percaya kepada perkara ghaib seperti akhirat dan syurga memerlukan feedforward. Ia tidak nampak lagi secara mata kasar. Namun dengan data yang ada, Quran sering berhujah untuk membawa kepercayaan seseorang tentang wujudnya realiti itu.

Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati). (35:9)

 

Dalam ayat di atas, Allah memberikan data: angin, awan, hujan yang turun menghidupkan bumi kering kontang. Feedforward: Allah akan membangkitkan manusia.

Syukur ke hadapan

Jika kita sudah melihat pelbagai bukti nikmat dari Allah, maka kita boleh melihat ke hadapan betapa banyaknya nikmat yang Allah boleh beri. Salah satunya nikmat syurga jika kita melaksanakan apa yang melayakkan kita mendapat rahmat-Nya pada masa lepas.

Dalam hidup seharian, syukur ke hadapan ini perlu menjadi isi kehidupan. Kalau kita ingin syurga dengan teknologi ‘syukur ke hadapan’, maka sudah tentu setiap saat kita perlu diisi dengan ‘syukur ke hadapan’. Ia akan memberi harapan besar kepada kita secara realistik – bukan berangan-angan sahaja. Manusia akan berani mengambil risiko hanya apabila risiko pada masa lepas dapat didepani dengan baik.

Syukur ke hadapan sebagai pelajar: kalau dulu Tuhan sudah beri kejayaan dalam UPSR, maka Tuhan juga boleh beri kejayaan pada SPM, kolej dan kerja. Syaratnya ? Ikut faktor kejayaan lepas, dan lebarkannya ke hadapan.

Antara persoalan yang mungkin timbul, bolehkah guna kaedah yang 100% sama?  Sudah tentu tidak.

Yang perlu sama ialah kebergantungan kepada Allah yang sama atau lebih kuat. Aspek spiritual tetap tidak berubah. Aspek fizikal, intelek dan emosi perlu disesuaikan dengan baik. Ia mungkin nampak menggerunkan kerana pelbagai perkara berubah jika ingin berjaya untuk SPM atau kolej. ‘Kegerunan’ itu jika didepani dengan nilai spiritual, ia menjadi satu titik kekuatan. Bagaimana menjadi kuat ?

Makin ‘gerun’, makin merendah diri pada Tuhan

Sewajarnya apabila wujud ‘gerun’ pada pelbagai faktor dalam kehidupan yang akan mencabar kejayaan kita, kita akan rasa rendah diri pada Tuhan. Ia akan menyebabkan sifat kehambaan terus terbina.

Jika makin ‘gerun’ itu menyebabkan kita gelabah dan tidak kembali kepada Tuhan, itu akan merosakkan lagi diri kita. Jika ‘gerun’ itu meneybabkan kita lupa diri malah kekadang ‘bongkak’ pada Tuhan dengan menyatakan ‘saya sudah berjaya pada masa lepas’, itulah saat kehancuran seseorang.

Itu sebabnya tazkirah sering perlu diberikan untuk mengingatkan diri yang percaya kepada kejayaan datang dari-Nya. Sebaik-baik peringatan atau tazkirah ?

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (51:56)

Ingat dan sedar diri sebagai hamba amat penting. Ia membina kekuatan. Ia nampak pelik dan agak paradoks. Tapi itulah hakikat seorang manusia. Fizikalnya akan makin kuat, inteleknya makin tajam dan emosinya makin utuh apabila spiritual merasa rendah di sisi Tuhan.

Untuk menjadi hamba, kita perlu sentiasa bersyukur. Orang yang bersyukur sentiasa mendapat rahmat dari Allah – malah akan dilipatgandakan.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (14:7)

Dengan rahmat itu, kita akan berkasih sayang sesama manusia. Bersifat raheem.

Syukur ke hadapan menyebabkan kita syukur dengan apa yang ada dalam negeri. Syukur apa yang ada dalam masyarakat. Syukur apa yang ada dalam keluarga. Syukur apa yang ada dalam diri.

Orang yang bersyukur bukannya hanya melihat ke belakang, tetapi merancang bagaimana mendapatkan lebih nikmat dan terhindar keburukan. Syukur bukan sifat pasif. Ia akan membuatkan diri kita tercari-cari apakah yang perlu dibuat lagi bagi membina legasi. Tidak hanya duduk berbasa-basi sahaja.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Konflik Fokus dan Fokus sehingga berjaya

"Serabut le kepala aku. Aku dah cuba fokus tapi tak menjadi. Makin tak tentu arah." Salah satu ciri individu beriman

Close