Senyum-senyum sinis menjerat


belittleJika diperhati kepada Sirah Nabi, Abu Lahab dan Abu Jahal adalah pemuka Quraisy yang terkenal. Abu Jahal dikenali sebagai Abu Hakam (Bijaksana). Namun selepas datangnya Islam, Abu Hakam tidak lagi bijaksana. Ia dikenali sebagai Abu Jahal (Bodoh atau Jahil) lantaran satu amalan yang menjeratnya: senyum-senyum sinis dan ketawa apabila kebenaran hadir kepadanya.

Apa sebenarnya yang tersembunyi dalam senyum-senyum sinis? Senyum yang baik ialah sedekah tetapi senyum yang sinis terhasil dari perasaan dalam hati yang mengecil-ngecilkan individu atau kebenaran yang dibawa. Kalau kita mengecil-ngecilkan individu, siapakah yang diperkecilkan sebenarnya? Si individu tadi tentu tidak mahu dicipta begitu, namun hakikatnya ialah datang dari Penciptanya.  Senyum-senyum sinis mengecilkan tubuh badan atau fizikal seseorang ialah mengecilkan Penciptanya.

Namun ada satu lagi senyum-senyum sinis yang bahaya. Senyum-senyum sinis kerana memperlekehkan kebenaran. Apabila dilihat seseorang sedang menyatakan kepada kebenaran, Abu Jahal dan Abu Lahab senyum sinis dan ketawa. Senyum sinis dan ketawa tidak datang tiba-tiba. Ia hasil dari hati yang rosak dan memperkecilkan kebenaran. Memperkecilkan kebenaran ialah ciri orang yang sombong.

Sabda Nabi:

2009-05-16_081327

“Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sifat kesombongannya seberat debu.” Kemudian ada sahabat berkata: “Sesungguhnya seseorang itu ada yang senang jikalau pakaiannya itu baik dan terumpahnya pun baik.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan orang banyak.”

Dalam hadith di atas, Batharulhaqqi ialah menolak kebenaran dan mengembalikannya kepada orang yang mengucapkannya itu – yakni memberikan bantahan pada kebenaran tadi, sedang ghamthunnasi
ialah menghinakan para manusia.

Apa yang dikhabarkan dalam hadith di atas menjelaskan mengapa individu yang sombong ini adalah salah satu syirik khofi atau tersembunyi – lantaran ada ilaah atau tuhan lain yang disembah selain Allah – iaitu nafsu sendiri yang ingin dibanggakan. Individu yang senyum sinis dan ketawa pada kebenaran ini juga ditempelak dalam Surah al-Mutaffifin:

2009-05-16_073519

83: 29. Sesungguhnya orang-orang Yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang Yang beriman.
30. dan apabila orang-orang Yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).
31. dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali Dengan riang gembira;
32. dan apabila mereka melihat orang-orang Yang beriman, mereka berkata: “Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan Yang sesat!”
33. pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang Yang beriman itu!
34. maka pada hari ini, orang-orang Yang beriman pula tertawakan orang Yang kafir itu.
35. sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal Yang berlaku kepada musuhnya).
36. (untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): “Bukankah orang-orang Yang kafir itu telah dibalas akan apa Yang mereka telah kerjakan dahulu?”

Apakah yang disampaikan dalam ayat di atas? Orang yang derhaka ialah mereka yang suka mentertawakan orang-orang beriman kerana membawa kebenaran. Mereka memejam celikkan mata sebagai tanda sinis dan cemuh. Malah lebih teruk lagi, apabila bertemu kumpulan yang sehaluan dengan mereka, mereka menyatakan bahawa orang beriman dan kebenaran yang dibawa adalah sesat atau ‘tak boleh pakai’. Jika ‘tak boleh pakai’ dinyatakan secara serius untuk didiskusi, dibantah atau dicari kebenaran, ini adalah lumrah manusia kerana memang ada manusia yang tidak faham pada sesuatu perkara sehingga mereka menentang. Tanpa ketawa dan senyum sinis, seseorang masih mampu berfikir untuk mencari kebenaran.

Namun kalau ia diselangi dengan derai ketawa dan senyum sinis, ia memberi mesej bahawa hati ada sifat sombong. Individu yang sombong tidak mampu menerima kebenaran.

Lantas, pernahkah kita tersenyum sinis pada kebenaran dan manusia lain? Senyum sinis itu bermula dari hati. Kalau hati mahu sinis, sila tanyakan ‘sinis ini kerana Allah atau kerana merasakan diri hebat?’ Kalau rasa diri hebat, Nauzubillah. Api di dunia yang lebih 70 kali ganda sejuk ini pun tidak mampu kita pegang secara direct lebih 2 minit.

Ya Allah, jauhkan kami dari senyum-senyum sinis hingga terjauh kebenaran dari kami.

Facebook Comments:

1 Comment

  1. pali says:

    salam,

    Benar, bukan sekadar senyum sinis sahaja, kekadang senyuman manis dan ikhlas juga boleh jadi bahaya, jika tersalah erti diberi pada orang yang tersilap ketika, tersilap jantina, dan tersilap anggaran (kuantiti/dose) senyuman.

    Biasa2 sahaja. terlalu manis kena kencing manis. 🙂

Leave a Reply

Read previous post:
Mencatat Idea

Dalam tradisi ulama terdahulu, mereka mencatat idea dan dikumpulkan menjadi bahan penulisan mereka. Hatta Mozart juga mencatat ideanya di dalam...

Close