06 The 4th Alternative

Perkhidmatan diberhentikan.

Semenjak semalam kecoh dalam ‘whatsapp’ berkenaan perkhidmatan khemah oleh surau telah diberhentikan pekhidmatannya. Ironinya hanya pihak yang dibatalkan perkhidmatan saja yang banyak bersuara, tetapi pihak yang membatalkan hanya diam tanpa bicara. Cuma pihak pendamai yang terkadang bersuara untuk meredakan perbincangan ketegangan.

Perihal perkhidmatan khemah di surau ini bukanlah isu baru, bahkan ia isu yang tidak pernah habis sepanjang saya berkhidmat sebagai Imam di sana beberapa tahun dulu. Pada hemah saya, selagi ia memberi manfaat kepada masyarakat setempat, ia sudah memadai sekalipun ada perkara-perkara yang saya tidak persetujui. Namun, mungkin kali ini ada isu-isu yang sudah semakin meruncing, memaksa pihak pengurusan membuat keputusan yang sedikit menggusarkan sesetengah pihak.

Saya kalah, saudara kalah.

Pihak pengurusan surau menggunakan mandat yang diberikan kepada mereka untuk menamatkan perkhidmatan tersebut. Saudara sudah kalah, dan tidak boleh meneruskan lagi kerja-kerja berkaitan khemah surau. Dengan ini, pihak kami dapat meneruskan agenda lain dengan baik dan lancar. Namun, mungkinkah pihak yang kalah akan duduk diam?

Mewujudkan satu pihak yang menang dan satu pihak yang kalah biasanya akan mewujudkan ketegangan sekiranya tidak didasari dengan matlamat yang lebih besar. Pihak yang sudah kalah, akan menyusun strategi untuk mencari kemenangan semula. Hakikatnya, dengan pertikaian yang berterusan, hanya mewujudkan situasi kalah-kalah.

Pihak pengurusan mungkin berpendapat bahawa sudah lama mengalah selama ini, maka ini adalah masanya untuk mendapat kemenangan. Pihak perkhidmatan mungkin merasakan sudah lama menang selama ini, maka berbaloikah dengan kekalahan ini? Bagaimana pula idea agar semua pihak mendapat kemenangan?

Memudahkan penduduk.

Bagi pihak yang sudah bertahun lama menawarkan perkhidmatan khemah surau kepada masyarakat, ia adalah untuk memudahkan urusan penduduk setempat. Apalagi dengan kos perkhidmatan khemah yang lebih mahal jika dibandingkan dengan kos yang mereka tawarkan. Bahkan ia mungkin satu kewajaran untuk membenarkan perkhidmatan ini diteruskan.

Kepincangan dalaman.

Bagi pihak pengurusan, mereka mungkin ada hujah yang tersendiri. Surau yang sepatutnya menjadi rumah ibadat dan tempat untuk berinfaq, tidak wajar dijadikan medan yang mungkin untuk mendatangkan keuntungan peribadi mana-mana pihak. Apalagi jika dilihat ada perkara yang mungkin mendatangkan keraguan. Justeru, perkara ini perlu dihentikan.

Model ‘Countertype’.

Pendekatan ‘countertype’ adalah keadaan di mana penyelesaian sesuatu masalah dilakukan dengan cara menyimpang dari keadaan biasa. Selalunya model ini akan kelihatan bertentangan dengan logik atas sebab aspek rekaan asal sudah diubah suai kepada cara yang amat mengagumkan.

Dalam satu kisah yang diceritakan oleh Stephen R.Covey, seorang lelaki bernama Rinaldo telah hampir berputus asa dengan kedai peralatannya kerana kelak akan dibangunkan dua buah rangkaian besar pasaraya peralatan rumah yang akan dibuka di sebelah kedainya. Pelanggan pasti memilih pasaraya besar dan berpengaruh berbanding kedainya.

“Kita perlu selamatkan Rinaldo. Kita akan melakukan ‘countertype’. Apakah tindakan yang dapat diambil Rinaldo supaya mampu mengekalkan pelanggannya? Apakah yang dapat kita lakukan supaya tindakan itu adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pun sebelum ini?” Lantas mereka melaksanakan proses ‘countertype’ bersama-sama. Terdapat beratus-ratus idea yang dicadangkan, ia mengalir bagai air yang deras. Kesimpulannya, Rinaldo bersetuju terhadap beberapa idea tersebut iaitu:

  • Perlu mengambil pekerja wanita dan membangunkan kelas untuk wanita.
  • Menyelidik ciri-ciri produk yang paling diperlukan oleh wanita bagi melengkapi kediaman mereka.
  • Mewujudkan peralatan khusus untuk wanita.

Hasil daripada perbincangan ini, akhirnya Rinaldo dapat meneruskan kelangsungan perniagaannya di antara 2 buah pasaraya besar dan berpengaruh, bahkan pelanggannya juga semakin ramai dan menggemari sikap mesra pelanggan yang ditonjolkan oleh syarikatnya.

Syura sebahagian jalan Ilahi.

Hakikatnya, kedua-dua belah pihak baik di pihak pengurusan surau mahupun pihak perkhidmatan, masing-masing mempunyai keinginan ke arah kebaikan. Model ‘countertype’ mungkin dapat digunakan untuk memastikan manfaat khemah kepada masyarakat setempat dapat terus dirasai, dalam masa yang sama pihak pengurusan merasa gembira dengan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pihak perkhidmatan.

Pertemuan dua pihak ini untuk berbincang bukanlah sesuatu yang baru dilakukan. Namun, mungkin perbincangan sudah tidak mencapai kata putus atau jalan keluar, maka keputusan menang-kalah dilakukan. Memanggil pihak lain yang tidak berkepentingan terhadap 2 faktor tersebut, namun dalam masa yang sama mahukan keharmonian diteruskan adalah wajar dilaksanakan. Dalam isu Rinaldo, idea yang dihasilkan adalah dari kalangan mereka yang tiada kepentingan untuk syarikat Rinaldo mahupun mana-mana pasaraya besar, namun berniat baik untuk memastikan kedai beliau terus hidup di samping dua buah pasaraya besar.

Berbincanglah dengan cara yang terbaik. Pasti ada jalan keluar bagi yang mahu bertaqwa kepada Allah swt. Firman Allah swt bermaksud:

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.

Surah As-Syura, 42 (38)

Menang-menang-menang

Surau merupakan rumah ibadat bagi umat Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah swt. Tunjangnya adalah untuk membina masyarakat yang hidup dalam suasana soleh dan solehah. Islam menyeru kepada perpaduan, jauh sekali perpecahan. Justeru, memilih jalan yang terbaik untuk memenangkan rumah Allah dengan tunjang di atas, insha Allah akan mendatangkan kemenangan bagi semua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Mbak hidup berpandukan apa?

"Saya bertemu dengan seorang makcik. Beliau tanya saya boleh atau tidak membaca al-Quran. Saya menjawab tidak. Makcik tersebut membalas, 'Loh,

Close