Pergi lagi…

Baru sebentar tadi saya balik menyolatkan dan mengkebumikan jenazah Faisal Billah. Saya tidak kenal beliau ketika hidupnya kecuali beberapa jam di Hospital Huntington, Glendale, California. Itupun diajak oleh rakan saya minggu lepas selepas membawa Adam dan Hajar pergi melihat gajah – untuk mengumpulkan dana Horizon Islamic School di sini. Saya setuju untuk pergi kerana selain ada ganjaran pahala dari Allah untuk yang berziarah, ia juga tazkirah pada diri ini. Dan banyak ibrah dari lawatan itu dan pengkebumian beliau tadi.

Sebelum sampai ke Hospital Huntington yang besar, bersih dan selesa itu, rakan saya ada menerangkan pasal Faisal. Beliau yang berumur sekitar 30-an sihat walafiat sebelum ini sehinggalah 5 minggu lepas beliau dibedah oleh doktor untuk melihat sebarang masalah dalam badan. Selain buah pinggang yang dikeluarkan kerana kanser, tiada apa-apa yang serius.

Empat minggu kemudian, beliau berjumpa doktor. Doktor terkejut kerana beliau sudah dijangkiti kanser hingga ke paru-paru dan bahagian dalam badan. Lebih 50% bahagian dalam badan sudah diserang kanser. Kata doktor, ada peluang beberapa hari lagi untuk beliau. Faisal Billah menunggu detik ajal. Dan saya sempat melawat.

Minta bacakan Surah al-A’la dan Surah Yasin

Walaupun sakit dan tidak kenal saya, beliau mesra dan memuji-muji Malaysia. Dalam kesakitan yang dialami dan disuntik morfin dari semasa ke semasa, beliau membuat permintaan. Bacakan surah al-A’la dan Surah Yasin. Saya baca Surah Yasin dua kali kerana beberapa rakan saudara yang melawatnya tidak sempat membaca. Malah ada yang menyatakan, dia suka mendengar bacaan al-Quran tetapi diri sendiri tidak lancar membacanya.

Kali pertama, ketika saya membaca Surah Yasin, beliau nampak lebih tenang. Hati saya tersedu, kerana ia mengingatkan saya kepada arwah ayah yang sudah pergi dulu.

36: 73. dan mereka beroleh berbagai faedah dan  juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

Ketika saya membaca ayat di atas, diri beliau bergerak-gerak meminta air. Subhanallah! Saya makin yakin bahawa ayat al-Quran yang dibacakan ini bukan untuk telinga fizikalnya tetapi untuk ruh yang bersiap untuk bertemu Allah. Rakan saya menyatakan selepas pertemuan itu, “apa sahaja amalan yang biasa dibuat akan kita request ketika ingin bertemu Allah.” Saya setuju. Concern Rasulullah ialah dakwah umatnya, maka dihujung-hujung hidup itu masih lagi baginda menyatakan ‘ummati, ummati.” Saya terfikir sendiri, lantas apakah pula yang akan ku ujarkan ketika ajal ingin menjelma? Moga ia bukanlah harta atau dunia, tetapi dakwah, Islam dan iman.

Lawat Sabtu, Selasa beliau lewat pergi…

Saya menerima berita kepergian beliau Selasa 1.30 petang.  Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Kepergian beliau amat terasa biarpun saya tak mengenal beliau. Saya hadir di saat akhir hidup beliau untuk membacakan ayat Quran dan mengingatnya tentang rahmat Allah. Kehadiran saat akhir ini mengimbau pengalaman saya bersama arwah ayah. Makin sedih dan sedu dibuatnya.

Ketika ayah ingin pergi, saya melawat beberapa kali ketika beliau sakit. Saya berulang dari Bangi ke Perak. Pada minggu yang dimaksudkan, saya menerima panggilan ceramah. Saya memang memberitahu kepada adik beradik dan emak bahawa saya ada panggilan ceramah tersebut.

Namun ketika berceramah, abang saya menghantar SMS beberapa kali dan cuba menelefon. Saya tidak dapat mengangkat kerana ketika itu sedang berceramah. Usai ceramah, saya semak dan dapat maklumat kecemasan: ayah sakit dan dimasukkan hospital. ‘Balik cepat’.

Ayah pergi dulu..

Belum sempat bersalam dengan kebanyakan peserta, saya terus bergegas. Dalam hati berdebar. Saya doakan saya sempat bertemu ayah.

Rupanya ayah diminta menghadap Allah terlebih dahulu pada 2006. Saya menerima SMS dari adik di Perak: ‘abah sudah tiada’. Air mata saya berderai. Saya mengetepikan kereta. Saya terdiam. Air mata makin lebat mengalir. Dan saya satu-satunya anak yang tidak berada di sisi ayah ketika ayah pergi. Makin kuat deraian air mata apabila memikirkan hal itu.

Di Perak, memandikan ayah dan saya imam

Malam itu saya tiba di rumah. Jenazah ayah dibawa ke rumah. Semua adik beradik ada di rumah. Abang tidak berkata apa-apa, kecuali menyabarkan saya. Saya sugul.

Besok pagi, kami memandikan ayah. Saya tidak mahu hilang peluang kali ini. Selepas dikafankan, ayah dibawa ke surau untuk solat jenazah. Saya berbisik pada abang, “Pami (panggilan manja saya di rumah) jadi imam ya.”

Emak yang mendengar, mencelah. “Baguslah Pami. Abah tak sempat tengok Pami pun tak pe, tapi Pami gantikan dengan menjadi imam. Abah memang ada sebut nama Pami ketika abah sakit sebelum meninggal..” Saya kian sedu. Ayah sebut nama Pami?

Jemaah makin ramai. Ayah saya tidaklah terkenal mana. Pemandu lori dan berbuat kerja buruh pelbagai untuk menyara kami. Namun saya perhatikan ada lebih 8 saf di surau yang juga diadakan solat Jumaat.  Pengorbanan ayah memang banyak untuk membesarkan kami. Walaupun begitu, ayah menunjuk ilmu asas agama yang saya hafaz sehingga sekarang.  Ayah menunjukkan contoh ketika allahyarham atuk dulu meninggal. Ayah menjadi imam. ‘Dan kini saya ganti, abah’

3 perkara

Selepas habis mengkebumikan, kami sekeluarga berkumpul dan berkongsi pengalaman dan perasaan. Abang, kakak dan adik-adik lain berkongsi tentang pengalaman mereka bersama ayah terutama ketika beliau terlantar sakit. Saya juga berkongsi ketika saya ziarah sebelum ini. Namun saya tidak dapat berkongsi apa-apa di saat akhir ayah sakit.

Cuma saya masih yakin dalam diri. Saya pergi ceramah itu pasti ayah suka. Pasal ayah dulu nakkan anaknya membantu orang lain. Ayah tak banyak ilmu. Tapi berkat titik peluh memandu lori, bekerja di kilang arang, mengangkat tong minyak, mengangkat bahan binaan dan simen, saya kini boleh faham dan ingin benar menghayati hadis ini:

Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Saya kongsi dengan adik-beradik dan emak:

“Pami rasa bersalah kerana tidak balik awal. Bukan tak nak balik awal tetapi ada tanggungjawab yang kini Pami yakin arwah abah suka. Pasal abah selalu sebut dan suka kalau Pami jadi penceramah untuk membantu orang lain.”

“Abah tiada harta untuk banyak disedekahkan sebagai amal jariah. Namun abah usahakan Pami belajar ilmu dan dapat curahkan kepada orang lain. Pasti abah dapat ganjaran pahala ini. Dan harapnya dengan Pami berceramah dan menolong orang ini, Pami jadi anak yang soleh. Moga doa Pami untuk abah ketika ceramah tadi dan masa akan datang akan diterima oleh Allah dan memberi ganjaran kepada abah.”

Saya habis bercakap. Abang yang duduk dekat mententeramkan saya. Saya sedih tetapi syukur kerana dapat berkongsi dengan adik-beradik yang lain.

 

Saya hadir di saat akhir

Saya hadir di saat akhir ayah. Saya hadir di saat akhir Faisol Billah. Menjadi imam dan membacakan al-Quran. Saya tidak seperti yang lain mampu menemankan arwah ketika sakit. Namun saya harap amalan di akhir itu tadi diterima dan bukti saya amat sayangkan arwah. Biarpun saya tidak kenal allahyarham Faisol Billah, namun saya rasakan beliau amat dekat di hati kerana beliau inginkan saya baca al-Quran sebagai ubat dan memberi ketenangan kepadanya.

Moga Allah terima amal saya, dan cucuri rahmat abah serta Faisol Billah. Moga Allah sentiasa menyiapkan saya untuk menghadapi saat itu.

Ya Allah, siapkan kami untuk saat itu. Saat untuk pergi. Pergi lagi bertemu Rabul Jaleel.

Facebook Comments:

4 thoughts on “Pergi lagi…

  • June 11, 2009 at 12:54 am
    Permalink

    Sedihnya saya membaca artikel ini. Sungguh menyentak diri…….Syukran……..

    Reply
  • June 11, 2009 at 4:38 pm
    Permalink

    salam akh Fazrul..
    terima kasih sebab share kisah akh Fazrul sendiri
    pasti sukar utk hdpi kehilangan org t’syg..
    tapi kita perlu sentiasa bersedia utk hadapi kehilangan..

    sy juga mahu menjadi anak yang solehah, yg akan sentiasa menyumbangkan pahala kepada ibu bapa dan guru2 sy..
    aminn
    =]

    Reply
  • June 11, 2009 at 8:55 pm
    Permalink

    salam.

    perkara yang saya sangat fikirkan beberapa jam yang lepas. thanks for this really touching story. kami adik beradik juga ada kisah dgn mak, the lady we love most… kematian itu suatu detik yang pasti, walau sukar dijangkakan.

    Reply
  • July 6, 2009 at 7:15 am
    Permalink

    Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu…wa akrim nuzulahu..wawassi’ madkhalahu..ameen ya Rabb…

    ya Allah kurniakan kami husnul khatimah…ameen ya Rabb..
    hidupkan kami dalam imaan..dan jemputlah kami dlam imaan..ameen ya Rabb..ya Rabb..ya Rabb…

    Allah yubarik fikum..wayajzikum alf khyrin………

    Reply

Leave a Reply to Ana Nur Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Twitter Weekly Updates for 2009-06-07

@imranty so dah free ke sekarang ? in reply to imranty # deciphering the concept of coaching and mentoring...to be

Close