Pendakwah Air Kacang Soya 13
Selesai solat, Din merapati sekumpulan murid sekolah agama dan bersembang dengan mereka. Rancak mereka bersembang, murid-murid itu pun merasa lebih mesra dengan Din. Di hujung perbualan, Din mengajak mereka singgah ke gerai setelah tamat waktu persekolahan. Kemudian, Din terus beredar ke gerai untuk menggantikan Nas menjaga gerai sambil Nas menunaikan solat asar.
Setelah Nas kembali ke gerai, kelihatan jalan di situ mula sibuk dengan ibu bapa, yang mahu mengambil anak mereka pulang. Tidak berapa lama kemudian kedengaran bunyi loceng sekolah menandakan tamatnya waktu persekolahan. Murid-murid berpusu-pusu keluar dari sekolah. Ramai yang singgah di gerai Din dan Nas untuk membeli air kacang soya termasuk sekumpulan murid yang bersembang dengan Din tadi.
Ada yang hanya datang untuk bersembang dengan Din. Ada juga yang datang untuk membeli air kacang soya. Namun, kelihatan Nas agak kekok dan malu. Nas hanya diam, sekadar melayani permintaan pelanggan.