Di Mana Hawa Nafsu pada Potensi Diri

“Saya memang jelas untuk buat apa yang perlu saya buat. Namun apakan daya. Malas menjelma tiba-tiba.”

“Saya memang sudah belajar agama. Tetapi saya tidak dapat mengawal diri saya.”

Senario ini memang banyak berlaku dan menjadi topik utama dalam mengenal potensi manusia. Sehinggakan Maha Pencipta meletakkan tahap-tahap kawalan ini dengan jelas dalam kitab al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia agar berjaga-jaga kepada elemen yang boleh menarik diri ke bawah. Hawa nafsu.

Bahagian nafsu

Ada beberapa pendapat tentang pembahagian ini. Secara ringkas, ada tiga:

  1. Ruh mengawal hawa – selalu penuh dengan zikir – namanya nafsu mutmainnah
  2. Ruh dan aqal sering bertelagah – selalu menggunakan pendapat – namanya nafsu lawwamah
  3. Hawa mengawal ruh – selalu mengikut syahwat – namanya nafsu ammarah bis su’

Jika diperhatikan, individu yang mencapai ketenangan perlu mengusahakan diri untuk mencapai nafsu mutmainnah. Hidupnya penuh zikir dan berpijak atas amalan spiritual.

Manakala bagi nafsu lawwamah, hidup banyak diasaskan oleh akal semata-mata tanpa berpijak kepada zikir yang kuat. Manakala bagi nafsu ammarah bis su’, individu tersebut hanya mengikut kepada syahwat.

Letak nafsu dalam potensi diri

Jika dalam diri manusia ada fizikal, intelek, emosi dan rohani, di manakah letaknya nafsu ? Nafs bermaksud diri. Jika diri dalam bahasa Melayu dikaitkan dengan semua elemen fizikal, intelek, emosi dan rohani, dalam tasawur Islam, diri ini difokuskan kepada ruh dan hawa. Ia berfokuskan kepada nilai spiritual – yang akan memberi kesan kepada fizikal, intelek dan emosi. Fokus pada spiritual dan hati ini sebagaimana dinyatakan dalam hadith:

Ketahuilah sesungguhnya pada sesebuah jasad itu ada seketul daging jika baik ketulan daging tersebut maka baiklah keseluruhan jasad tadi dan jika rosak ketulan daging tersebut maka rosak jualah keseluruhan jasad. Ketahuilah ia adalah hati

Jadi banyak masa perlu diberikan kepada elemen spiritual – di mana pertarungan antara ruh dan hawa ini akan menentukan siapa kita. Hawa nafsu adalah kebalikan kepada ruh dalam diri manusia. Itu sebabnya dalam melonjakkan potensi diri, kemahiran mengawal hawa ini amat penting.

Allah berfirman tentang orang yang tahu tetapi mengikut hawa nafsunya dalam ayat berikut:

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (45:23)

Kalau diri mengikut kata hawa, maka fizikal, intelek dan emosi akan kecundang. Jika diri mengikut kata ruh atau spiritual, maka ia akan membawa seseorang itu mendekati kejayaan. Antara ruh dan hawa, apakah cara mengenalnya ? Ia memerlukan ilmu yang tersendiri. Allah tidak memberitahu ‘intelek’ ruh ini dengan banyak. Namun amalan praktikal dibentangkan dalam manual kehidupan manusia dari Pencipta untuk memudahkan urusan kita. Asasnya ikhlas dan mengikut sunnah Rasul.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Bersifat ‘resourcefulness’ untuk membina legasi

"Kontang idea menulis. Bagaimana ingin mencapai dateline?" "Malas mula menyerang!" Ini antara cabaran dalam membina kejayaan. Jika salah satu daripada

Close