Konsep Illah; Cabaran Mahasiswa Memahaminya

 

Adakah mahasiswa kita pada hari ini benar-benar menepati ciri dan sarana sebagai individu muslim yang sejati? Adakah dengan lahirnya modal insan yang banyak, berketerampilan, bersyaksiah tinggi dan berbagai lagi aspek yang dinilai kini amat penting untuk menerajui atmosfera kemajuan negara, tanpa ada penghayatan, pemahaman serta alim dari sudut aqidahnya? Sudah cukupkah mahasiswa kita yang lahir kini, bergelar graduan, membentuk seorang yang tunduk kepada penciptaNya dengan asas ilmu yang dipelajarinya selama 3 atau 4 tahun di universiti?

 

Jika ia berjaya, mengapa terdapat di dada-dada akhbar yang menyatakan bahawa kes maksiat, khalwat dan sebagainya berlaku di sekitar mahasiswa kita pada hari ini? Tidak berjayakah sistem tarbiyyah di IPT kini untuk membentuk mahasiswa yang benar-benar tunduk dan taat kepada perintah Allah? Apakah ilmu yang dipelajari itu gagal membentuk keperibadian sebagai individu muslim? Atau ada perkara dan niat yang lain disebalik hati dan niat mahasiswa kita pada hari ini di dalam menjadikan tuntutan mencari ilmu itu sebagai ibadah pada mulanya kepada niat yang lain?

 

Fenomena mahasiswa menganggur juga, biasa kita dengari. Mengapa hal ini berlaku dan bagaimana mahasiswa kita di negara ini menanganinya berdasarkan akidah dan keyakinan mereka terhadap rezeki? Adakah ilmu yang didapati di universiti kini tidak berjaya menempatkan diri mereka di dalam satu lingkaran sektor pekerjaan yang baik di dalam kerjaya serta kelayakan mereka? Dan bagaimana pula tanggapan mahasiswa yang baru sahaja memasuki alam universiti dan melihat senior mereka tidak mempunyai atau masih tidak menempatkan diri mereka di sektor pekerjaan mengikut bidang masing-masing?

 

Jika dilihat persoalan-persoalan di atas, ia merupakan satu detik hati yang biasa berada di benak fikiran. Tetapi persoalan akarnya, adakah pendidikan (tarbiyyah) di IPT tidak berjaya membentuk keperibadian muslim yang sejati berdasarkan ilmu yang di dapati di universiti? Dan apakah cabaran serta budaya yang ada di dalam pemikiran serta penghayatan dari sudut akidah yang sahih kepada konsep illah yang sebenar?

 

Konsep Al-Illah Yang Sebenar

 

Konsep Al-Illah ialah satu pengenalan dan kefahaman yang mendalam berkenaan dengan bagaimana illah itu di letakkan di dalam jiwa manusia berdasarkan kepada konsep ketuhanan yang sebenar. Ucapan kalimah la ilahaa illa Allaah adalah sukar difahami jika ianya tidak menyeru kepada konsep ‘tidak ada illah’ yang sebenar di dalam diri seorang manusia. Bagaimana untuk kita mengenali dan memahami tiada illah selain dariNya? Inilah persoalan yang sering timbul di dalam pemikiran masyarakat umum yang mengenali Islam secara tipis.

 

Kadangakala, suatu yang telah di iqtiqadkan  (yakin) di dalam diri seseorang itu, namun kadangkala ia dianggap benar serta dan menyebabkan seseorang itu tidak mengenali akan illah mereka yang betul. Kekeliruan serta tersasarnya iqtiqad seseorang itu, maka akhirnya akan membentuk peribadi yang tidak menepati ciri-ciri sebagai seorang yang ber illah benar.

 

 

 

Cerita Nabi Musa dan Bani Israel; Menurut Ibnu Khathir

 

Sebelum melihat kepada konsep illah yang sebenar, kita akan melihat dahulu satu cerita yang telah Allah firmankan di dalam surah Al-A’araf, ayat 138 dan 139. Tafsir ayat ini akan dirujuk melalui tafsir Ibnu Kathir. Peristiwa yang menjadi tumpuan di dalam ayat ini ialah dari saat ketika Nabi Musa menyelamatkan Bani Israel sehingga mereka menentang perintah Allah dan Nabi Musa.

 

138. Dan Kami bawakan Bani Israel keseberang laut itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (melihat kepada peristiwa itu) mereka berkata; “Wahai Musa, buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa Tuhan” Nabi Musa menjawab; “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

 

139. “Sesungguhnya mereka akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik) dan tetaplah salah apa yang mereka kerjakan itu.

 

Menurut tafsir, kisah ini berlaku kepada kaum Nabi Musa, kaum Bani Israel (BI). Ayat ini menerangkan bahwa betapa jahilnya BI ini apabila mereka telah selamat dari ancaman puak Firaun. Mereka membesarkan Allah setelah mereka selamata dari Firaun, dan setibanya mereka di seberang, mereka terserempak dengan satu kaum yang sedang menyembah berhala. Maka, BI ini merasakan di dalam jiwanya itu perlu kepada penyembahan serta penghambaan, dan akhirnya mereka memohon kepada Nabi Musa agar membuatkan satu patung yang sama seperti apa yang disembah oleh kaum tadi untuk mereka (BI) sembah.

 

Nabi Musa berkata; ‘sungguh bodoh kalian, tidak mengerti keagungan kebesaran Allah Yang Maha Suci dari serupa dan sekutu? Sungguhnya semua, berhala itu akan binasa dan semua perbuatan menyembah selain Allah itu batil dan palsu semata-mata!’

 

Hal ini sama seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. yang ada tercatat di dalam hadith. Abu Waqid Allaitsi berkata, Ketika kaum Muslimin keluar dari Mekah menuju Hunain bersama Rasulullah s.a.w. s.a.w. melewati tempat di mana orang-orang berkumpul di sekitar sebuah pohon beringin yang sangat besar, yang mereka sembah sambil digunakan sebagai sangkutan pedang mereka juga beringin itu bernama Dzat Anwath. Mereka meneruskan perjalanan dan tiba-tiba terserempak dengan
pohon beringin yang lain dan mereka berhenti lalu memohon kepada Rasulullah s.a.w. s.a.w. agar memberikan kepada mereka Dzat Anwarth, seperti mana yang dilihatnya oleh satu kaum tadi. Lalu Rasulullah s.a.w. s.a.w. pun bersabda “
kamu memohon satu permohonan yang sama seperti kaum Bani Israel memohon kepada Nabi Musa agar dijadikan satu berhala unutk mereka” lain riwayat ada mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda “Allahuakbar! Kalian telah mengikuti suara BI dahulu yang meminta keapda Musa untuk membuatkan Tuhan seperti Tuhannya kafir”.

 

Secara ringkasnya, kisah ini menerangkan bahawa BI ini memohon kepada nabi Musa agar dibuatkan satu berhala yang sama seperti mana yang dilihatnya. Tetapi nabi Musa tidak bersetuju dengan permintaan tadi kerana ia adalah satu perbuatanyang syirik kepada Allah.

 

Sambungan ayat, 140 yang bermaksud;

 

Musa berkata “apakaha aku akan mencari Tuhan selain Allah untuk kamu, padahal Allah-lah yang memberi kelebihan dari semua makhluk seisi alam”

 

Pengajaran dari Kisah BI

 

Pengajaran dari kisah ini, terdapat banyak perkara yang dapat di lihat. Antaranya, yang pertama, sifat fitrah manusia itu akan tunduk kepada illah iaitu Tuhan yang Satu. Mereka tidak dapat menafikan fitrah di dalam jiwa mereka untuk memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Memang tidak dinafikan bahawa, manusia ini mempunyai satu sifat yang terpendam di dalam jiwa untuk mencari Tuhan. Oleh kerana itulah, BI itu tadi melihat bahawa, setelah lama mereka tidak memperhamkan diri mereka kepada Tuhan, mereka merasakan satu perasaan rindu kepada penyembahan. Apabila kerinduan yang menebal di hati, lalu diluahkan kepada Nabi Musa agar mencarikan satu Tuhan yang boleh disembah. Tetapi mereka menyembah pekara yang batil, bukan yang hak. Namun hakikatnya, rasa kerinduan di dalam jiwa mereka untuk mengabdikan diri mereka kepada berhala itu sebenarnya adalah satu bukti yang mana mereka mempunyai fitrah ketuhanan.

 

Fitrah itu juga bersinambung dengan satu perasaan di dalam diri mereka bahawa mereka terasa dilindungi. Lihat sahaja kaum Jahiliyyah Arab di Mekah dahulu. Mereka menjadikan penyembahan berhala itu sebagai satu perlindungan untuk diri dan keluarga mereka dari terancam. BI juga merasakan, diri mereka perlu di lindungi. Perasaan-perasaan lain seperti terasa tenteram jika menyembah dan terasa terubat cinta di hati untuk menyembah, akhirnya terisi di dalam jiwa BI ini semenjak sepeninggalan Nabi Musa mendapatkan wahyu di Bukit Tursina.

 

Illah

 

Apakah kaitan konsep illah yang ada disebalik cerita BI dan Nabi Musa itu tadi? Dari sudut psikologi jiwa manusia, mereka (BI) merasakan bahawa, mereka perlu diberi perlindungan, jiwa akan tenteram jika menyembah, terasa terubat rindu dan cinta jika bertemu atau menyembah. Fenomena di dalam kalimat syahadah, iaitu laa ilaaha illa Allaah yang mengandungi perkataan ilah; berasal dari perkataan aliha, membawa maksud  pelbagai. Antaranya

 

1.      sakana ilaihi

2.      istijaarabihi

3.      asy syauqu ilaihi

4.      wull’a bihi

 

dengan perkataan yang mudah difahami; mereka tenteram Kepadanya, merasa dilindungi oleh Nya, merasa rindu Kepadanya dan merasa cinta dan cenderung Kepadanya.

 

Sakana ilaihi; Merasa Tenteram denganNya

 

Inilah definisi bagi perkataan aliha (yang Mententeramkan). Jika dikaitkan dengan kisah BI tadi, mereka (BI) merasakan satu ketenangan dan ketenteraman jika dapat menyembah berhala ‘sapi betina’ sehinggakan mereka mengatakan bahawa berhala itu harus disembah oleh Nabi Musa juga kerana apa yang dicari selama ini adalah penyembahan yang ada pada mereka. Ketenangan atau sakanah ilaihi inilah yang dirasai di dalam naluri kaum BI tadi. Tetapi apa yang diusahakan oleh nabi Musa adalah agar kaum BI ini menyembah atau merasakan sakanah ilaihi ini adalah kepada Allah bukan kepada berhala.

 

Firman Allah di dalam surah Yunus, ayat 7-8;

 

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram den
gan kehidupan itu dan orang-oranh  yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.

 

Dan menurut Ibnu Kathir, mereka yang merasa tenteram dengan apa yang mereka kecapi didunia ini, malah merasa senang akanya dengan menidakkan serta menjauhkan diri mereka dari hidayah Allah yang telah diturunkan kepada mereka dan mereka menolaknya, maka azab neraka akan menjadi milik mereka di akhirat kelak.

 

Begitu pula keadaan mereka yang tidak mempercayai akan hari pertemuan dengan Tuhannya. Mereka yang lalai dan terpesona dengan nikmat yang ada di dunia yang fana’ ini, maka mereka juga tergolong di dalam golongan di atas, di akhirat nanti.

 

Hadith dari Ibnu Abbas R.A dari Rasulullah s.a.w. s.a.w. meriwayatkan, sabda dari Tuhannya, firmanNya ‘Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan-kejahatan kemudian menjelaskannya, maka barang siapa berniat melakukan kebaikan lalu tidak jadi, Allah mencatatkan satu kebaikan yang sempurna. Dan jika ia berniat melakukan kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah catat kebaikannya itu 10x lipat sampai 700x lipat, sampai berlipat ganda banyaknya. Dan jika ia bermaksud melakukan kejahatan, tapi tidak jadi ia lakukan, Allah catat padanya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika ia bermaksud melakukan kejahatan, lalu dikerjakannya, Allah catat padanya satu kejahatan. Al-Bukhari

 

Istajaara Bihi; Terasa Terlindung denganNya

 

Perkara lain yang terdetik di dalam diri BI tadi ialah mereka juga merasakan diri mereka telah dilindungi oleh berhala sapi betina itu tadi. Mereka merasakan selamat jika menyembah berhala sehinggakan mereka mengabaikan nasihat dan suruhan Nabi Musa agar menyembah Allah. Kekeliruan mereka ini sebenarnya adalah berpunca dari kejahilan diri mereka sendiri sehinggakan menganggap diri mereka aman dari segala ancaman. Sedangkan mereka sedang berhadapan dengan api neraka di akhirat kelak.

 

Firman Allah di dalam surah Yassin, ayat 74-75;

 

Mereka mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar mereka mendapat pertolongan. Berhala-berhala itu tiada dapat menolong mereka; padahal berhala-berhala itu menjadi tentera yang disiapkan untuk menjaga mereka

 

Inilah perasaan yang wujud di dalam naluri mereka (BI). Mereka membina berhala tersebut dengan tujuan dan pengharapan bahawa akan diberikan perlindungan yang sepenuhnya dari berhala tersebut. Bukankah ini satu kesilapan yang di lakukan oleh kaum BI di dalam menyatakan merasa tenang kerana dilindunginya?

 

Jika dilihat lagi di dalam tafsir Ibnu Kathir, istajaara bihi ini bermaksud mereka (kaum yang menjadikan berhala itu sebagai illah) berada di dalam keadaan syirik. Mengambil lain dari Allah untuk dijadikan sebagai perlindungan. Hal ini Allah juga ada berfirman bahawa, tidak layak bagi berhala-berhal itu disembah dan dijadikan sebagai pelindung bagi diri mereka, bahkan berhala itu juga tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya dari ancaman.

Firman Allah di dalam surah Al-Araaf, ayat 7;

Dan berhala-berhala yang kamu seru selain Allah tidaklah sanggup menolongmu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri

Isytaaq Ilaihi (Terasa Rindu Kepadanya)

Kisah Nabi Musa dan kaumnya ini, jika dirujuk di dalam tafsir Ibnu Kathir, ia ada menjelaskan dengan terperinci akan kisah berkenaan dengan seorang lelaki yang bernama Samirin. Apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut?

Firman Allah di dalam surah Taahaa, ayat 85 hingga 88;

85. Allah berfirman, ‘maka sesungguhnya Kami menguji kaummu sesudah kamu tinggalkan, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri.

86. kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Berkata Musa: ‘ Hai kaumku, bukankah Tuhanmu telah menjanjikan kepadamu suatu janji yang baik? Maka apakah terasa lama masa yang berlalu itu bagimu atau kamu mengkehendaki agar kemurkaan dari Tuhanmu menimpamu, lalu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku?

87. mereka berkata; ‘Kami sekali-kali tidak melanggar perjanjianmu dengan kemauan kami sendiri, tetapi kami disuruh membawa beban-beban dari perhiasan kaum itu, maka kami telah melemparkannya dan demikian pula Samiri melemparkannya

88. kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka anak lembu yang bertubuh dan bersuara maka mereka berkata ‘ Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa, tetapi Musa telah lupa’

Pengajaran dari surah ini ialah, dari sudut psikologi, perasaan rindu, pendam dan tersimpan di dalam satu tempoh yang lama akan membuatkan seseorang itu bertindak diuar jangkaan bagi mengisi kekosongan dan kehausan. Ini ada di nyatakan di dalam hadith riwayat Abu Daud;

Kecintaanmu kepada sesuatu akan membuatmu buta tuli

Lelaki yang bernama Samirin* ini, difirmankan oleh Allah telah melakukan satu perkara yang bertentangan dengan janji yang pernah diikatnya dahulu dengan Nabi Musa. Nabi Musa menjanjikan satu janji yang akan membuatkan mereka dapat mententeramkan jiwa mereka sejak mereka melihat suatu kaum yang sedang menyembah. Mereka juga terasa rindu untuk menyembah dan akhirnya, Nabi Musa mendapat hidayah untuk pergi ke Bukit Tursina bagi mendapatkan hidayah dari Allah s.w.t.

Sepeniggalan Nabi Musa ini dan digantikan dengan Nabi Harun mengamb
il masa yang agak lama dan menyebabkan penantian yang begitu lama, menyebabkan hati mereka memberontak dan ingin mencari sesuatu yang dapat menenangkan diri (kaum Bani Israil) mereka. Maka lelaki bernama Samirin ini telah melakukan satu perkara yang dapat mengisi jiwa mereka dari kekosongan penyembahan. Maka dengan sebab itu, mereka menyembah sapi betina yang diciptakan oleh Samirin tadi. Mereka menyambah sebenar-benar menyembah seperti di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah Asy Syua’raa’ ayat 71

Mereka menjawab; Kami menyembah berhala-berhala dan kami sentiasa tekun menyembahnya

Kisah ini jelas menerangkan sifat manusia ada mempunyai perasaan rindu untuk memperhambakan diri mereka kepada Pencipta. Tetapi di dalam kisah Nabi Musa ini, kaum BI telah menjadikan berhala sebagai tempat menunjukkan ketaatan mereka. Bukan kepada Allah. Maka dengan itu, berlakulah perkara syirik yang mana ia mengundang kepada penempatan di neraka. Hal ini juga menunjukkan bahawa mereka tenggelan di dalam lautan syirik yang bermula dari perasaan rindu dan cinta untuk berjumpa (mereka dapat bersama dengan patung sapi betina secara zahir) dan ini mengubat hati mereka lalu ianya ditaati dengan penyembahan serta penyerahan jiwa yang menyeluruh kepadanya (patung berhala tadi).

Wulli’aBihi; Merasa cinta dan cenderung kepadanya

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 165 yang bermaksud;

Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan Allah amat berat siksaanNya (nescaya mereka akan menyesal).

Menurut Ibnu Kathir, firman Allah ini menjelaskan bahawa terdapat satu kaum musyrikin yang mana keadaan mereka di dunia ini mereka telah mengadakan satu kesekutuan (menyamakan) iaitu mereka menandingi Allah yang mereka sembah dengan sesuatu yang lain dan mereka cinta sebagaimana mereka mencintai Allah, padahal Allah itu Tuhan yang tiada Tuhan kecuali Allah, tiada sekutu, tandingan atau lawan yang sebanding.

Bagaimana pula halnya dengan kisah Nabi Musa tadi?

Firman Allah di dalam surah Al-Ankabuut, ayat 25

Dan berkata Ibrahim, ‘Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari akhirat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain); dan tempat kembalimu ialah neraka dan sekali-kali tidak ada bagimu para penolong

 

Jika dirujuk di dalam tafsir Al-Mishbah, ayat ini menerangkan bahawa semasa peristiwa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya sendiri. Ayat ini ada menyebutkan perkataan mawaddah. Jika diambil terus maksudnya ialah rasa cinta. Tetapi ayat tersebut merujuk kepada rasa cinta yang menyebabkan kaumnya berkumpul atas dasar cinta kepada berhala lalu menolak seruan Nabi Ibrahim. Mereka berkumpul dan berada di atas dasar mawaddah yang bersifat kosong.

 

Hal ini berlaku di dalam kisah Nabi Musa tadi. Kaum BI tadi telah bersepakat dan bersatu menentang seruan Nabi Musa kerana terdapat di dalam hati mereka cintakan berhala. Maka atas dasar cinta itu, mereka menentang Nabi Musa.

Kesimpulan

Mengenali illah, iaitu di dalam memahami kondisi tuntutan di dalam syahadah ialah meletakkan illah di atas tempat yang betul. Iqtiqad yang terserong di dalam meletakkan dan menyamakan illah yang benar (iaitu hanya kepada Allah s.w.t.) kepada yang batil akan melahirkan jiwa-jiwa yang mensyirikkan.

Kalimah syahadah iaitu Laa ilaaha illa Allaah merupakan satu kalimat yang mengandungi perkataan la’, iaitu satu penafian. Jika penafian ini tidak difahami dan diyakini dengan sempurna maka penafian ini akan menjadi satu pengiktirafan.

Perkataan Aliha yang bermaksud yang Mententramkan ini mengandungi empat unsur yang harus difahami iaitu;

1.      sakana ilaihi – Mereka Tenteram Kepadanya

2.      istijaarabihi – Merasa terlindung OlehNya

3.      asy syauqu ilaihi – Merasa Selalu Rindu KepadaNya

4.       wull’a bihi – Merasa Cinta dan Cenderung Kepadanya

 

kesemua unsur yang ada di dalam aliha ini merupakan satu manifestasi dari apa yang dapat mententeramkan jiwa manusia di dalam mencari kebenaran tauhid.

 

Mengenalpasti dan memahami konsep yang ada di dalam aliha ini akan dapat meletakkan di dalam jiwa manusia ini konsep illah yang sebenarnya iaitu kepada Allah s.w.t. sahaja.

 

 

 

 

Konsep Illah Zaman Rasulullah s.a.w.

 

Mencari keselarian di dalam penghayatan seerah, pengisian atau tarbiyyah Rasulullah s.a.w. s.a.w. pada fasa Mekah adalah meruntuhkan illah jahiliyyah kepada konsep illah  yang sebenarnya. Rasulullah s.a.w. membawa kata erti sebenar maksud dan pengertian illah itu sehinggakan mereka yang mengikuti Rasulullah s.a.w. malah tidak lagi gentar dan takut dengan ancaman manusia kerana illah telah difahami dengan baik. Mereka yang mengikuti tarbiyyah Rasulullah s.a.w. mengenai illah ini, dengn serta merta merobohkan dan menghancurkan kepercayaan serta iqtiqad mereka terhadap kepercayaan lapuk, yang mana mereka menyangkakan illah selain Allah dapat memberi ketenangan yang sebenarnya, dapat melindunginya, tempat melepaskan rindu kepadanya dan cenderung kepadanya. Tetapi sebenarnya konsep illah itu kepada Allah.

Amalan jahil iaitu memperhambakan diri kepada berhala adalah ditentang oleh Rasulullah kerana Baginda mengetahui bahawa illah yang sebenar hanyalah kepada Allah dan bukannya kepada berhala-berhala. Inilah konsep yang harus di lihat mengapa usaha Baginda membawa umat manusia kepada illah yang benar.

Fenomena & Cabaran Mahasiswa Mengenali Illah

Potensi yang terpendam di dalam jiwa mahasiswa adalah sangat tinggi jika dapat digilap dan diasah dengan asahan tauhid yang sahih. Kini, tidak dapat dinafikan bahawa fenomena yang berlaku atau norma-norma biasa yang terjadi serta budaya yang wujud di kalangan pemikiran mahasiswa juga ada kaitannya dengan konsep illah.

 Prinsip di dalam mengenali dan menghayati illah ini dapat di lihat dan di analisi semula dengan menggunakan kaca mata tauhid. Jika kita menggunakan kaca mata selain dari tauhid, maka kadangkala itulah peluang dan ruang untuk kita jatuh  ke dalam syirik.

Persoalan kini, apakah buadaya atau perkara yang berlaku di dalam aktiviti harian sebagai mahasiswa yang mana dapat dikaitkan dengan konsep illah tadi? Berikut satu analisa yang biasa

1.      menjadikan kecemerlangan satu kejayaan yang abadi

2.      menjadikan teman lelaki/ perempuan sebagai pelindung

Menjadikan kecemerlangan satu kejayaan yang abadi

Bagaimana illah di sini dapat kita perbaharui? Kejayaan di dalam akademik adalah satu lumrah yang biasa ada di dalam niat-niat dan jiwa mahasiswa kita di kampus. Namun yang demikian, kadangkala ia boleh bertukar kepada illah yang tidak seharusnya kita jadikan. Tetapi ia berlegar dibenak pemikiran mahasiwa kita pada hari ini. Malah ianya juga berlaku di semua golongan tidak kira apa sahaja profesionnya.

Bagaimana illah mahasiswa yang seharusnya kepada Allah telah bertukar menjadi kepada kejayaan atau kecemerlangan? Dan mahasiswa kita juga sangat yakin pada hari ini, dengan berjayanya mereka di universiti ini nanti mereka akan mendapat kejayaan yang baik apabila mereka keluar dari universiti nanti. Mereka merasakan dengan kejayaan yang mereka kecapi tadi dapat memberi rezki yang mencurah-curah kerana akedemik yang cemerlang dapat mengganjarkan gaji yang lumayan di dalam sektor pekerjaan kelak. Adakah ini menjadi satu perkara biasa di dalam pemikiran mahasiswa kita?

Lihat semula kandungan yang ada di dalam aliha. Kandungan yang bermaksud mereka merasa tenang dengannya. Bukankah ianya hampir sama dengan apa yang berlaku. Mahasiswa kita merasakan jika mereka gagal, mereka tidak akam merasa tenang dengan kedudukan itu. Tetapi jika mereka mendapat kecemerlangan yang baik lalu ia memberikan ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Pasti tergambar mereka apabila kecemerlangan itu mampu mengarahkan mereka ke satu tahap yang lebih baik dan tenang.

Firman Allah yang ada menyatakan ‘mereka menyambah dengan bersungguh-sungguh’- situasi ini memang ada dilakukan dan sering dijadikan satu tabiat. Mereka bersungguh-sungguh mentelaah buku-buku, nota dan sebagainya dan akhirnya mereka sanggup menggadaikan tidurnya demi untuk memastikan kecemerlangan itu dapat di garapi, sehinggakan mereka terabai kewajiban mereka kepada Allah. Mungkin ada yang terlepas fadhunya, mungkin ada yang meninggalkannya terus dengan alasan perlu cover banyak lagi topik! Adakah peristiwa ini hampir sama dengan mereka yang menjadikan illah mereka yang mana seharusnya kepada Allah s.w.t. tetapi kepada kecemerlangan akademik semata-mata sehinggakan sanggup meninggalkan yang fardhu?

Fenomena kedua yang biasa juga dilakukan oleh mahasiswa ketika mana hendak memulakan ulangkaji pelajaran. Ada yang meletakkan gambar atau satu objek yang mana mereka menyangkakan dapat memberikan motivasi dan kekuatan di dalam ulangkaji nanti. Adakah ini satu perkara yang tidak wajar kita lakukan? Kita menjadikan satu objek lain selain dari Allah yang mana dapat memberi kekuatan serta perlindungan kepada kita? Adakah ini satu kekeliruan di dalam hal yang mana kita meletakkan illah yang sebenarnya harus kepadaNya,
bukan kepada objek lain? Adalah lebih wajar jika kita mengamalkan adab mencari ilmu dengan memulakan dengan doa dan mengharapkan Allah berkati dengan apa yang diusahakan.

Persoalan yang seterusnya, adakah dengan kecemerlangan itu dapat memberikan ketenangan yang sebenarnya? Sudah tentu bagi mereka yang menjadikan illah mereka itu adalah kejayaan, maka itu adalah ketenangan buat mereka!

Kesimpulannya, bukanlah Islam menghalang kepada kejayaan di dalam akademik, malah ia menjadi satu kewajipan yang amat dituntut. Kerana ia adalah sebahagian dari perkara yang fardhu. Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan bagi umat Islam. Namun yang demikian, di dalam masa yang sama, khuatir berlaku di dalam perbuatan, niat dan sebagainya yang mana akhirnya akan membawa kepada perkara-perkara yang syirik (dalam keadaan yang tidak kita sedar). Perlu dianjakan cara kita beriqtiqad kepada tempatnya.

Menjadikan teman lelaki/ perempuan sebagai pelindung

Hal ini sangat serius di kampus. Isu bercouple amat kritikal sehinggakan mahasiswa kita pada hari ini menganggapkan ianya adalah satu perkara yang perlu di dalam meneruskan kehidupan di kampus. Ada yang menyatakan bahawa, mereka datang dari jauh dan tidak ada teman yang boleh menemani mereka sepanjang berada di kampus. Sekurang-kurangnya memberi perlindungan dan kepercayaan.

Adakah ini fakta yang biasa didengari?

Fenomena inilah yang mana mahasiswa kita menjadikan illah mereka yang seharusnya kepada Allah kepada teman-teman mereka. Mereka yakin dengan adanya teman lelaki/ wanita yang bukan muhrim dapat memberikan satu perlindungan yang sempurna bagi mereka? Bukankah seharusnya kita bergantung dan bertawakal kepada Allah s.w.t. sahaja?

* bertawakal ini juga adalah dengan cara kita berusaha dan meminta bantuan manusia dan akhirnya berserah kepada Allah; bukan bermaksud berserah kepada Allah semata-mata tanpa ada sebarang ikhtiar.

Mahasiswa sering menjadikan bercouple sebagai tempat mereka merasakan ketenangan; boleh menjadi tenang jika bertemu sesama mereka. Mereka juga menjadikan pasangan mereka adalah tempat yang dapat melindungi diri mereka dari segala ancaman dan mereka juga menjadikan teman mereka sebagai tempat melepaskan rindu serta cenderung kepada pasangan masing-masing. Adakah ini wajar bagi mereka yang bukan mukhrim?

Kesan Illah Terhadap Kehidupan Muslim

Satu jurang yang amat besar jika kita dapat lihat di dalam perbezaan di antara mereka yang berillahkan kepada Allah dengan mereka yang berillahkan selain dariNya. Antara kesan yang akan timbul di jiwa mereka yang benar-benar meletakkan Allah s.w.t. itu sebagai illah dan tempat untuk mereka berkecenderung, maka ketenangan yang sebenar akan lahir di dalam setiap perilakunya.

Mereka yang berillah kepada Allah akan merasai bahawa hidupnya adalah mengharapkan satu rahmat dan keredhaan darinya. Jika suatu perintah dan kewajiban itu ke atasnya, maka ia akan melakukannya dengan rasa senang (al-marghrub), tidak sedikit pun terdetik di dalam diri mereka untuk membangkang atau tidak melakukannya. Malah mereka akan melakukannya dengan lebih banyak. Ketaatan dan ketundukan ini sebenarnya adalah berteraskan kepada takutnya mereka kepada azab Allah yang mana mereka yang berillah pasti dapat merasainya (al-marhuub). Mereka lebih bergetar jiwa mereka kepada Allah kerana mereka begitu hampir denganNya. Maka dengan secara tidak langsung, ketaatan yang bersungguh-sungguh dapat di laksanakan. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah di dalam surah Al-Ahzab, ayat 39;

Orang-orang yang menyampaikan risalah Allah, mereka takut kepadaNya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang pun selain dari Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan

Inilah yang terdapat di dalam jiwa-jiwa para sahabat dahulu. Mereka lebih takutkan azab Allah, kemurkaan Allah berbanding takutnya mereka kepada tuannya. Setelah mereka Islam dan membuang illah kepada berhala kepada Allah, maka keberanian timbul melepasi segalanya kecuali kepada Allah s.w.t.

Mereka (illah pada Allah) juga pasti akan merasakan cinta dan layaklah Allah itu wajar dicintainya kerana Dialah yang memberi perlindungan, ketenangan, rahmat, kasih saying yang melimpah ruah kepada hambaNya dan orang yang beriman pasti akan sentiasa berada di atas kecintaannya (taat dan patuh ) kepada Allah.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Mahasiswa Perlu Mengambil Islam Sebagai Cara Hidup

Mahasiswa pada hari ini tidak kurang sibuknya dalam melaksanakan tugas harian mereka sebagai pelajar di universiti. Mereka melaksanakan amanah ini...

Close