Kepercayaan: Ubat untuk Anda dalam Membuat Pilihan

Ubat berperanan untuk menyembuh sakit. Ia mungkin pahit, namun ia boleh membawa kebaikan. Ubat Panadol atau madu adalah untuk penyakit fizikal. Bagaimana penyakit emosi dan spiritual ? Ubat yang menyembuhkan kebas dan sakit itu ialah kepercayaan.

Apabila dalam hidup terlampau banyak pilihan yang ada, kita akan buntu dan tidak ‘cergas’.

Dalam apa yang diperkatakan oleh Kahneman dalam bukunya Thinking Fast, Slow , manusia ada Sistem 1 yang cepat dan Sistem 2 yang lambat berfikir kerana perlu memproses lebih banyak maklumat. Apabila pilihan terlampau banyak dalam hidup, ia akan mengehadkan keaktifan kita dalam bertindak. Itu sebabnya orang yang berpengalaman pantas membuat sesuatu perkara berbanding orang yang baru belajar sesuatu perkara.

Ini berlaku ketika saya memandu kereta awal-awal dahulu di US. Kerana kawan saya mengantuk dan tidak mampu untuk memandu ketika kami bercuti, saya memaksa diri untuk memandu. Sesekali ke kanan. Sesekali ke kiri. Ia menggerunkan penumpang tetapi mereka tidak mahu menekan saya. Kerana tekanan yang lebih kepada Sistem 2 saya pasti akan membahayakan lagi keadaan. Tidak lama selepas itu, kawan yang mengantuk tadi ‘kembali segar’ dan bertukarlah pemandu.  Kawan saya pemandu berpengalaman dan mampu mengawal keadaan dengan baik. Saya pemandu baru – semuanya perlu berkira-kira. Belum master. Ia melambatkan tindakan.

Dalam kehidupan, samada untuk mencari sumber kewangan atau berbuat bisnes atau menulis tesis serta buku, banyak pilihan di sebalik semua perkara itu. Pilihan di sebalik bisnes yang sedang dikendalikan ialah samada ingin buat projek A atau projek B. Jika ada dua pilihan begitu sahaja, ia tidak sukar untuk ditentukan dan diambil tindakan. Namun di sebalik projek A banyak pro dan kontra yang perlu dianalisis dan dibuat keputusan. Begitu juga dengan Projek B.

Makin analisis , makin banyak pilihan

Makin banyak analisis yang dibuat, makin banyak pilihan yang wujud. Kekadang pilihan itu wujud kerana kita sendiri yang tidak jelas dengan maklumat yang diperlukan untuk memastikan pilihan asal perlu dipegang.

Sebagai contoh, untuk melaksanakan Projek A, saya boleh buat berseorangan atau buat berdua. Jika dianalisis, buat berdua ada kebaikan dan kekurangan. Saya menganalisis kekurangan saya adalah bahagian M,N dan O – padahal M,N dan O saya boleh buat walaupun tidak sebaik mana. Kerana membandingkan dengan kawan yang lebih mahir, saya akan nampak kekuatan saya tidak jelas. Maka saya pun akan cuba mendapatkan bantuan kawan. Kalau saya jelas dengan kekuatan diri saya yang tidaklah sesempurna mana, sudah tentu saya boleh mulakan dengan lebih awal tanpa perlu banyak sangat bergantung kepada orang lain.

Jelas dengan kekuatan diri itu relatif. Namun ia bermula dengan PERCAYA.

Formula Percaya diri

Jika percaya itu diletakkan segala-galanya pada diri kita, ia ada had. Namun kalau percaya kepada Maha Berkuasa diletakkan sebagai batu asas atau permulaan sesuatu perkara, itu adalah sumber kekuatan yang terbaik.

(59:19) Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.

Jika kita berpegang kepada kekuatan diri sahaja tanpa ingat kepada Tuhan, ia menyebabkan kita mudah lupa. Lupa itu akan menyebabkan kita tidak jelas atau tidak sedar banyak perkara.

Jika lupa di rumah, mungkin lupa kunci atau lupa untuk berterima kasih pada pasangan.

Jika di tempat kerja, mungkin kita lupa untuk mengikut SOP atau lupa matlamat bisnes atau kerja kita.

Lupa semua perkara itu boleh mewujudkan stres. Stres ini akan mengakibatkan pilihan awal tadi mencapah. Pilihan bertimpa-timpa dan akhirnya tiada apa yang dibuat. Itu adalah tragedi kepada orang yang terlampau membuat analisis.

Kepercayaan kepada Tuhan dan kesungguhan untuk mengambil tindakan atau beramal menjadi teras untuk mengelakkan otak banyak sangat memberi pilihan. Ambillah ubat ini setiap masa, kerana penyakit pilihan ini boleh hadir dalam bentuk jenis dan pada setiap masa. Dengan kepercayaan tinggi kepada Tuhan dan kecenderungan untuk beramal akan meminimumkan angan-angan. Kita akan kurang berpusing-pusing.

 

Facebook Comments:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
“Anak saya takut ke sekolah”

"Tuan, saya ingin bertanya sedikit. Anak saya tidak mahu ke sekolah selepas masuk darjah 1 selama 3 bulan. Dia takut

Close