Jangan Biarkan 2 Sifat Ini Menjatuhkan Kita Pada 2018


2018 ini masa yang ditunggu. Ada yang kata pada bulan Mac. Ada yang kata bulan April. Masa untuk meneruskan perjalanan kepimpinan di negara ini. Ketika saya merancang program, ramai pengurus yang khuatir merancang bulan Mac atau bulan seterusnya kerana ia ada kaitan dengan peristiwa besar setiap 4 atau 5 tahun di Malaysia.

Dalam mendepani peristiwa ini, dan banyak lagi peristiwa lain pada 2018, saya merujuk kepada kisah seorang ilmuan pada zaman Nabi Musa yang dirakam dalam Tafsir Ibn Katheer yang bernama Bal’am bin Ba’urah.

Beliau adalah orang yang berilmu dengan kitab pada zaman Nabi Musa dan dikenali dengan doa yang makbul. Apabila beliau sudah faham, maka ada tugas untuk mengingatkan kaumnya agar kembali melaksanakan kebaikan.

Sampai sahaja ke sana, ajakan beliau dibalas dengan “tolonglah kami menghadapi Musa. ”

Balas Bal’am bin Ba’urah “nanti bagaimana dengan aku nanti?”

Kata mereka, “Kami tawarkan kamu harta yang cukup banyak.”

Bal’am bin Ba’urah terpesona. Beliau setuju dengan tawaran itu. Dikhabarkan sebagai azab pada zaman itu, lidah beliau terjelir.

Kisah ini dirakamkan pada surah yang menjelaskan tentang kepentingan mengambil pendirian dan jangan jadi golongan atas pagar: Surah al-A’raf.

‘Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. ‘ (Surah al-A’raf 7:176)

Apakah mesej dalam ayat di atas yang menjadi panduan kita semua: jangan cenderung rasa ingin kekal dengan dunia dan menurut nafsu untuk menambah tanpa batas dalam bab dunia.

Dalam satu artikel dalam Harvard Magazine pada 1978, Alexander Solzhenitsyn menulis tajuk ‘The Exhausted West’. Barat yang dikenali kuat makin letih kerana 2 faktor: hilang keberanian dan halatuju spiritual. Ini berlaku kerana hilang nilai kebaikan – di mana kebebasan tanpa batas dianggap sebagai lambang kemajuan.

Siapa yang sering nampak letih: seekor anjing – dihalau atau dibiarkan, ia nampak letih kerana tidak cukup-cukup dengan apa yang ada.

Apakah pengajaran daripada realiti ini? Jangan benarkan mana-mana ahli organisasi dan keluarga kita terperangkap dengan psikologi kejatuhan ini seperti Bal’am bin Ba’urah. 2 sifat itu ialah:

1. Ingin rasa kekal – tetap ingin berkuasa, tetap ingin cantik, tetap ingin kaya, tetap ingin banyak kuasa dan pengikut.

Yang kekal ialah syurga nanti. Lantas pada 2018 ini, jika ada apa-apa yang saya ingin buat, tanyakan soalan ini: adakah saya buat ini akan melayakkan saya kekal di syurga, bukan kekal di sini?

2. Ingin tambah dan tambah tanpa batas. Ini dinyatakan sebagai mengikut nafsu.

Yang perlu diinginkan banyak ialah ganjaran di sana nanti. Lantas, adakah apa yang saya buat pada 2018 ini membanyakkan saham saya ke sana atau sekadar menambah pengikut, kuasa, duit atau apa sahaja hal di dunia ini yang tidak menjanjikan saham saya di sana.

Apabila 2 perkara ini dapat dilaksanakan mendepani pilihanraya atau apa sahaja peristiwa dalam hidup, kita tidak akan mengulangi kesilapan Balam bin Ba’ura. Kita tidak mahu Malaysia menjadi masyarakat yang letih, sebagaimana dinyatakan oleh Solzhenitsyn. Apatah dalam menjelir, si anjing ini saling bergaduh untuk mendapatkan seketul tulang.

Moga Allah pimpin kita dan keluarga kita tahun mendatang.

Facebook Comments:

Leave a Reply

Read previous post:
Geramnya Saya Ketika Solat Hingga Satu Ayat Menusuk Kalbu Dibaca

Para jemaah sudah merapatkan saf untuk solat. Suasana selesa menjadikan saya bersemangat solat di surau ini. Ingatkan sinar akan ke...

Close