Bukan Sekadar Visa Kanada

Hari ini saya keluar awal. Semalam cadangnya ingin melawat 550 South Hope Street. Namun tidak kesampaian untuk bertemu wakil Kanada di Los Angeles ini. Setelah diperiksa, gambar untuk visa Kanada tidak sama saiznya dengan gambar untuk visa US. Saya pergi ke USC Village mendapatkan 2 keping gambar dengan harga USD 18 = tax! Dalam hati ‘oklah, insha-allah ada manfaatnya. Moga luluslah permohonan visa.”

Pagi semalam, selepas mengambil gambar yang siap 30 minit sahaja, saya balik ke rumah. Membaca perincian tentang tatacara memohon visa. Selepas itu, saya melawat rumah jiran. Jiran saya seorang India yang sedang menyiapkan Kejuruteraan Awam di peringkat Master dan PhD. Dia memberitahu saya bahawa dia pernah membawa kawannya ke Kedutaan Kanada untuk mendapatkan visa. Namun si kawan tidak meneruskan niat untuk mendapatkan visa kerana menurut nasihat pengawal (bukan pegawai) di situ, kemungkinan besar dia tidak berjaya berdasarkan dokumen yang dibawa untuk memohon. Pesan kawan saya ‘make sure you have all documents plus proof of financial.” Saya angguk.

Pagi ini, saya menaiki bas Metro untuk ke Kedutaan Kanada. Kawan India saya memberi pinjam pas bulanan. Jadi saya naik bas free. Sepanjang perjalanan, banyak perkara bermain di fikiran. Dapatkah visa kali ini? Sebelum ini saya ada membantu adik ipar untuk dapatkan visa ke US. Dua-dua kali ditolak oleh Kedutaan US. Katanya adik ipar saya tidak cukup dokumen untuk menunjukkan bahawa stabil kewangan dan tidak akan menetap di US. Habis terbang lebih RM 350 setiap kali ingin memohon. Saya terbayang-bayang perkara itu. Alangkah ruginya. Saya tidak mahu jadi begitu.

‘Apa yang perlu saya buat ?’ kata dalam hati. Diisi borang dengan baik – sudah. Disemak segala keperluan dokumen, sudah. Gambar sudah dibuat elok-elok. Penerangan dalam borang permohonan sudah dibuat yang paling baik. Saya yakin. Insha-allah.

Namun datang juga suara bimbang. Mana tahu ada yang diisi tidak tepat. Mana tahu ada dokumen yang salah. Mana tahu sebab untuk ke Kanada untuk menghadiri IlmWeek oleh al-Maghrib tidak cukup kuat. Atau mungkin juga dikaitkan dengan aktiviti Islamik yang entah apa-apa digeruni oleh orang-orang di US ini. Kata isteri saya, Syeikh Yasir Birjas tidak ke luar negara. Pasal mungkin janggutnya panjang. Mungkin pasal dia solat. Dan 1001 sebab bayang-bayang menakutkan si pakcik dan makcik Homeland Security. Itulah manusia…. Dan itu menambahkan bimbang saya. Bimbang juga duit USD 65 sebagai processing fee akan hilang begitu sahaja hari ini.

Namun saya meneruskan langkah. Saya sampai ke Downtown LA dan berjalan memerhati bangunan tinggi. Mencari pejabat Kedutaan Kanada yang terletak tingkat 9, kalau ikutkan alamat di web.

Saya bertanya orang di sekeliling. Saya bertanya di mana 550 S Hope Street. Hope Street yang membawa harapan saya. Namun setelah bertemu 3 orang, jawapan mereka ‘nampak yakin tetapi mengecewakan’. Saya sedar mereka ingin membantu. Dalam masa yang sama, ‘ajaran’ yang dibawa tidak tepat malah menyesatkan. Penat saya berjalan, kata hati yang negatif. Baguslah, saya ber-exercise hari ini – kata hati yang positif. Dalam jadual saya memang ada credit hour untuk fizikal tubuh saya. Alhamdulillah ia sudah dipenuhi hari ini. Individu terakhir saya tanyakan di mana bangunan 550 S Hope Street ialah pemandu teksi. Tak banyak fikir, pakcik pemandu teksi menunjukkan arah yang tepat.

Saya mencari dan tidak lama kemudian, tiba di bangunan hujung jalan tersebut. Tidak sesibuk pejabat imigresen Shah Alam semasa saya memohon passport. Tidak sesibuk Kedutaan US ketika saya memohon visa US.

“Please take your number, Sir”

Saya mencapai nombor giliran. 64 dan didepannya ada no 2. 264? Saya tengok di skrin pemberitahuan – 60. Aduh. Takkan jauh sangat. Nak tunggu berapa lama..

“It is 64 Sir. Not 264, ” sapa pengawal di situ.Oh, saya lega Alhamdulillah. Setelah diperiksa semua alat dan beg, saya dibenarkan duduk.

Sambil itu saya menyemak dokumen yang dibawa. Email program IlmWeek juga disemak. Sebenarnya saya ingin membeli tiket minggu lepas, namun tidak menjadi kerana saya berfikir, lebih baik tunggu visanya ada. Kalau katakan sudah dibeli tiket namun visa tidak lepas, merana nanti. Minggu lepas saya check tiket dari Los Angeles ke Toronto ialah USD 220. Itu harganya setelah masuk cukai. Memang murah. Tetapi tidak boleh beli kerana belum ada visa.

Sambil menunggu, saya berborak dengan seorang pemohon yang menunggu. Menurutnya, dia dari Columbia dan ingin memohon residency di Kanada. Dia minat untuk terus menetap di Kanada kerana budaya di sana lebih mesra berbanding pengalamannya di US. ‘Menarik,’ kata dalam hati saya.

’64’

Saya lantas bangkit ke kaunter permohonan. Saya keluarkan satu persatu. Diserahkan kepada pegawai di situ. Setelah diberikan tanpa banyak tanya, si pegawai itu memberi sekeping tiket. “Please come between 2.30 and 3.00 afternoon to pick up your passport.” Saya sedikit terkejut dan tidak sedap hati. Tidak tenang kerana , betapa pendeknya proses. Semalam kawan saya memberitahu bahawa berada di US tidak memberi sebarang kelebihan untuk memohon visa ke Kanada. Namun ini sebaliknya.. Tidak ada interview dan sebagainya. Saya buat-buat menyemak dokumen dalam folder. Manakan tahu ada soalan lain dari pegawai di situ. Memang tidak ada.

Saya pun turun ke bawah dari Tingkat 9. Saya duduk sekejap di tempat berdekatan. Menenangkan fikiran dan menyemak dokumen dalam folder. Alamak! Ada satu lagi yang tak diberi – selepas saya menyemak Check List baru yang diberikan oleh pengawal tadi. Saya perlu menyertakan proof of income. Saya membaca di helaian itu menyatakan jika pemohon tidak menyertakan semua dokumen dengan lengkap, kemungkinan permohonan akan ditolak dan yuran USD 65 tidak akan dikembalikan.

Apa nak buat? Perlu saya naik ke atas semula? Padahal masa untuk memohon sudah tamat, 10.30 am.

Saya cuba merasionalkan diri saya ‘Tak pe. Pasti pegawai itu akan baca saya dari University of Southern California. Pasti ada duit. Takkanlah student di US (isteri saya) ingin lari dari US dan menetap di Kanada. ” Walau telah dipujuk diri, saya masih tidak tenang.

Namun terus datang ‘S’ saya. Memang begitu saya berfikir sekarang. Kalau ada masalah apa sahaja di peringkat fizikal, intelek atau emosi (physical, intellectual and emotional capacity, PIE), cepat-cepat saya bawakan kepada nilai spirituil. Apakah nilai spirituil ? Ringkas sahaja: ikhlas dan mengikut Rasul.

“Memanglah kamu tidak menghantar dokumen lengkap. Mungkin ada kesilapan dalamnya. Ada program Islam pula yang dinyatakan dalam dokumen tersebut. Tapi keputusan itu akan dibuat oleh manusia. Manusia seperti kamu juga. Kalau kamu mengubah dengan fizikal, mungkin kamu perlu naik ke Tingkat 9 semula, ambil no , melalui sekuriti dan banyak lagi hal lain. Entah-entah itu akan menjadikan permohonan kamu lebih obvious untuk disemak oleh pegawai tadi. Lebih disemak untuk diluluskan atau digagalkan.”

Kalau dilihat rasionalnya, memanglah kalau saya dan isteri di USC, ia menunjukkan bukti kewangan yang stabil – walaupun saya tidak sertakan surat tersebut tadi. Saya cuba meyakinkan diri bahawa mereka akan memahami rasional saya. Tapi saya baru sedar, mungkin pegawai itu tidak mempunyai rasional atau cara berfikir yang sama. Mungkin mereka akan meletakkan borang J2 atau status saya di US tidak penting. Banyak kepelbagaian.

Saya pujuk emosi saya ‘ mereka tidak cruel dan bukan nak duit USD 65 tu sangat. Mereka pasti bermurah hati untuk memberi saya visa…” pelbagai perkataan emosi saya ungkapkan untuk menyejukkan suasana. Untuk naik ke Tingkat 9 semula, mungkin saya tidak dapat menyiapkan visa hari ini. Padahal program IlmWeek sudah hampir dan saya perlukan visa hari ini sebelum membeli tiket dan membayar yuran USD 497.

Spiritual datang dalam bentuk yang tidak jelas kecuali bagi sesiapa yang setuju untuk mendalaminya. Spiritual memujuk ‘siapa yang benar-benar berkuasa? Siapa yang mengawal hati pegawai yang akan memproses visa kami?”

Saya setuju dalam hati. Otak dan hati saya terus berfikir.Kini hati makin tenang. Allah Yang Maha Berkuasa. Jika saya berdoa, Allah izinkan, Allah buat apa sahaja. Saya sudah buat yang terbaik dan masih ada kesilapan. Itu bahagian saya. Namun kesilapan dan kekurangan yang menjadikan hamba-Nya ingin mendekati dan berdoa kepada-Nya. Saya yakin Allah tidak zalim untuk menghindari saya ke IlmWeek kecuali ada mudarat untuk ke sana yang saya tidak tahu. Dalam hati saya, saya berdoa dengan penuh harapan diterima permohonan visa. Dengan khuatir ia tidak diterima. Dan saya sedar, pengalaman ini juga sama ketika saya menghadapi exam di Purdue dahulu. Ketika habis exam, ada harapan dan khuatir. Allah sahaja tempat untuk menenangkan perasaan. Usaha sudah dicurahkan.

************

Petang itu, selepas solat Zuhur, saya bergergas menaiki bas semula menuju ke Kedutaan Kanada. Selepas solat tadi saya sempat berdoa. Kini juga saya berdoa. ‘Ya Allah, mudahkanlah Allah’. Dalam harapan, ada khuatir. Namun rasa itu sudah berkurang. Saya akan terima apa sahaja. Kalau Allah benarkan, pasti ia dimudahkan. Kalau Allah tidak benarkan, pasti ada masalah mendapatkan visa ini. Saya tidak fikir banyak kali ini, kerana aspek S sudah menjadi dominon. Saya buka beg, mencapai buku dan mula membaca. Big Think Strategy oleh Bernd Schmiddt.

Tak lama kemudian, saya sampai dan menunggu sebentar sebelum naik ke atas. Ada beberapa orang lain yang menunggu.Saya sekali lagi melalui pengawal dan masuk serta duduk di lapangan menunggu.

“Another 5 Sir”canada

5 orang dipanggil untuk beratur. Saya berdiri dan mula menunggu untuk mendapatkan Visa.

“Malaysia”

Oh, ada seorang dari Malaysia yang juga memohon visa ke Kanada di depan saya, selang beberapa orang. Kemudian tiba ruang individu di depan saya. Dia berjaya dengan visa-nya. Saya?

Saya serahkan kupon giliran. Berjayakah? ” Kalau tak pun tak pe ” “Kau akan berjaya, Insha-Allah.” Akhirnya saya yakin berjaya.

“Here Sir”

Alhamdulillah! Saya berjaya. Terasa ingin sujud syukur di situ. Namun tidak sesuai ruang di situ. Saya niatkan nanti. Saya perhatikan betul-betul. Oh Visa Kanada. Alhamdulillah. Tuhan sahaja tahu betapa gembiranya saya. Maksudnya Allah benarkan saya pergi IlmWeek. Alhamdulilah.

“Mudahnya. Tak perlu tunjuk proof of income,” hati saya berujar lagi.

*****

Sampai di rumah, saya mengemas-ngemas meja dan sudah bersedia untuk membeli tiket. Saya buku laman berkaitan. Saya taip LAX dan YTO. Subhanallah. Tiket sudah mencapai USD 400!

Hmm…sudah lepas visa yang penuh debaran, kini debaran seterusnya datang. Saya tidak membeli tiket lagi. 400 amat banyak beza dengan 220. Saya semak banyak laman. Harganya lebih kurang. Maksudnya saya kena semak setiap hari untuk mendapatkan lebih murah. Pencarian dan debaran bermula semula. Sambil itu, saya terfikirkan – sudah habis cabaran mendapatkan visa – seperti menjalani exam di kolej dulu. Habis dan berjaya, datang lagi tugas-tugas lain. Ia tidak habis nampaknya. Dan pastinya. Kerana dunia ini ialah tempat ujian.

Dan saya perlu siapkan banyak lagi persediaan. Deen Intensive pun belum disemak betul-betul persediaan ke sana. Dan lagi..dan lagi..

Bukan sekadar visa Kanada dalam hidup ini. Habis satu, akan datang lagi. Malah ujian Allah tidak mengecil. Ujian makin besar. Hadapilah sahaja dengan iman. Kalau diikutikan fizikal, intelek dan emosi sahaja, ia akan menjadikan Visa Kanada adalah segala-galanya

Saya tidak mahu jadi begitu.

Facebook Comments:

4 thoughts on “Bukan Sekadar Visa Kanada

  • May 6, 2009 at 4:26 pm
    Permalink

    jazakallah khairan jaza’~

    dah nampak lebih jelas konsep PIES dalam kehidupan (suka kaedah penceritaan begini – yg samar jadi jelas).

    nasihat berguna bg sy yang selalu kalah untuk meletakkan S di atas PIE.

    Reply
  • May 6, 2009 at 8:50 pm
    Permalink

    Masya allah. begini rupanya cara menundukkan PIE dengan S. Bunyinya seakan-akan begitu mudah. Tapi bila cuba nak di praktiskan, baru tahu betapa sukarnya. Apa yang diperhatikan, adalah kita kena konsisten untuk ‘tame’ PIE kita pada setiap waktu dalam setiap keadaan.

    Terima kasih akhi, artikel ni membantu untuk memahami fungsi dan peranan S dalam mengawal PIE.

    Reply
  • May 28, 2009 at 10:07 pm
    Permalink

    Jzzk~

    i i do really know what PIE S in practicality…Jzzk bro May Allah bless u..

    Reply
    • May 28, 2009 at 10:08 pm
      Permalink

      typo error.

      *now after your explanation i do really know what PIE S means…

      Reply

Leave a Reply to Wan Ahmad Wan Khalil Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
TwitTarbiah 2009-05-06

s strength is upon effort in P.I.E #

Close