Dimensi 99

Perbincangan berkenaan dengan nama-nama Allah atau Asma Ulhusna merupakan salah satu perbincangan yang dapat meningkatkan pemahaman, penghayatan serta kekuatan ikatan tauhid dengan Allah s.w.t. Apabila berbincang berkenaan dengan tauhid, maka seperti biasa ianya tidak lari dari topik mengenai tauhid uluhiyyah, rabbaniyyah dan tauhid asmaussifat. Persoalannya kini, bagaimanakah bentuk dan kefahaman kita mengenai asmausifat ini menerusi nama-namaNya?

 

Sepanjang saya berada di dalam bulatan ilmu perbincangan mengenai asmausifat ini, apa yang tidak lekang dan tidak pernah jauh dari bibir-bibir orang yang membincangkannya adalah topik mengenai khasiat dan kelebihan apabila mengamalkanya. Saya begitu khuatir di dalam budaya pemikiran orang-orang Melayu yang dahulunya begitu kuat mempercayai perkara-perkara mitos dan mistik, malah pada hari ini juga banyak rancangan-rancangan di kaca televisyen ini mengudarakan rancangan yang berbau mitos dan mistik. Bertambah malang lagi, apa yang tertera di dalam rancangan tersebut telah berjaya memikat ramai peminat dan bertambah lagilah kepercayaan yang makin terpesong.

 

Apakah dimensi pemikiran ini terbawa-bawa sehinggakan kefahaman menurut dimensi asmausifat yang seharusnya difahami dengan sebenar-benarnya mengikut paksi dimensinya yang betul telah dipengaruhi oleh kepercayaan orang-orang Melayu yang karut? Bukankah kefahaman menerusi dimensi ini jauh terpesong menurut paksinya yang sebenar? Pernah saya bertanyakan soalan mengenai asmausifat ini dengan sahabat dari Timur Tengah. ‘Adakah benar khasiat serta kelebihan apabila mengamalkan seperti mana yang didakwakan di dalam buku-buku penulisan di Malaysia ini?’  Jawapannya mudah. ‘Tidak ada sebarang dalil akannya.’

 

Apabila dilihat semula dengan apa yang tersebar luas di dalam buku-buku di pasaran mengenai AsmaUlhusna di Malaysia ini, sebenarnya tidak ada hadith yang kukuh mengenainya. Keadaan ini amat lemah dan amat menyedihkan kerana penyebaran mengenai kefahaman menerusi nama-nama Allah ini telah bertukar kepada suatu kefahaman yang bersifat kontra.

 

Krisis ilmu ini berlarutan sehinggakan ianya membawa kepada suatu amalan dan penghayatan sehinggakan seseorang itu tidak mampu untuk menjawab serta mengenalpasti asas tauhid menerusi amalan harian mereka menerusi nama Allah yang indah ini. Sudah pasti akan berlaku satu kefahaman yang bersifat serong dan jauh dari kebenaran kerana kefahamannya itu adalah berkitar kepada faedah dan habuan yang bersifat terang-terangan sedangkan banyak perkara yang perlu dinilai dari segenap aspek.

 

Al – Ankabut ayat  2 – 3 :

 

Yang bermaksud: “Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta”                                                                                     

 

Dimensi 99 AsmaUlhusna

 

Perkongsian ini adalah bertujuan untuk memperbaiki semula dimensi kefahaman dan penghayatan mengenai AsmaUlhusna ini agar terpelihara kesuciannya. Perkara ini amat penting untuk kita semua melihat semula dan memahaminya dengan baik. Di dalam hadith riwayat Bukhari ada menyatakan bahawa

 

"Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai 99 nama, iaitu seratus kurang satu, barangsiapa menghitungnya (menghafal seluruhnya) masuklah ia kedalam syurga"

 

Hadith ini adalah bertaraf sahih. Tetapi pemahaman di dalam hadith ini perlu dilihat semula kerana ianya dikategorikan di dalam hadith musykil (Hadith Musykil-Hafiz Firdaus). Ia menjadi tanda tanya, adakah dengan menghafal 99 nama tersebut, maka dijamin masuk syurga? Dan bagaimanakah cara menghafal itu? Adakah ianya semata-mata hafal dan ingat di kepala sahaja? Persoalan lain pula timbul, adakah orang yangberdosa, sering melakukan maksiat, tetapi mereka menghafal keseluruhannya, akan terus ke syurga? Persoalan inilah yang mana jawapannya ialah mereka itu benar benar memahami dan menghayati kewujudanNya melalui asma ulhusna ini adalah dengan cara ia benar-benar taat.

Read more

Dimensi Quran Menerusi Sains

Arus dunia pada hari ini telah banyak mengubah paradigma masyarakat di dalam segenap aspek termasuk ekonomi, politik dan sosial sehingga ianya mampu membentuk satu cara hidup yang dahulunya di anggap klasik dan tidak maju, kini telah merubah kepada satu cara hidup yang serba moden. Dahulunya dunia hanya menggunakan binatang-binatang liar sebagai kenderaan pengangkutan, kini, manusia menggunakan kenderaan-kenderaan yang menggunakan hasil bumi. Dahulunya juga, manusia hanyalah menggunakan kulit-kulit kayu dan kulit binatang untuk menulis ilmu-ilmu yang beharga, kini dunia menggunakan teknologi komputer sebagai alternatif kepada penggunaan kertas, kulit dan sebagainya. Malah pertukaran maklumat juga mampu dilakukan dengan pantas dan cekap dengan menggunakan kecanggihan internet.
 

Read more