Apa yang aku harapkan…

Dari penulisan seorang sahabat

Salam sahabat didikanku,

Aku mengambil masa ini untuk berkongsi denganmu. Berkongsi apa yang aku harapkan – sementara kau sudi menjadi sahabat didikanku. Kalau ikut kata kawanku dari Mesir, sahabat didikan ini dipanggil mutarabbi. Sahabat yang mendidik ialah murabbi. Namun aku tidak kisah istilah itu. Aku ingin jadi orang yang rapat dengan Rabb. Orang yang rabbani. Mengajar dan belajar al-Kitab – itu Allah nyatakan pada Surah 3 ayat 79. Dan harap aku dapat mengajar al-Kitab, walau aku bukan ustaz atau semestinya duduk dalam bulatan.

Lantas, aku yakin aku juga mutarabbi-mu. Aku adalah sahabat didikanmu. Aku belajar banyak darimu, sama seperti kau juga akan belajar dariku. Kita tidak lebih mulia antara satu sama lain. Aku pernah bertemu dengan seorang teman yang menjadi penceramah. Anak muridnya duduk mendengar. Pada masa lain, si anak murid menjadi guru dan berceramah. Si penceramah menjadi anak murid. Tidak ada salahnya. Yang penting – dua-dua perlu rendah diri kerana Allah. Ilmu itu milik Allah. Ilmu rabb itu yang ditimba – untuk menjadi golongan rabbani.

Sahabat didikanku,

Ketika melewati denai didikan atau tarbiah ini, aku ingin kau tahu satu perkara. Hanya satu. Aku ingin kau belajar bukan sekadar pada ilmu intelek. Bukan itu sahaja, sahabat. Kalau ilmu intelek, baiklah pergi daftar ke mana-mana universiti dan belajar sungguh-sungguh untuk mendapat ijazah. Ketika aku mendidikmu, aku ingin juga berkongsi emosi dan perasaan. Aku ingin juga kau bijak menguruskan jasad atau fizikal. Agar semua itu mampu membina rohani yang sejahtera.

Jangan bimbang sahabatku- kalau kau tak faham apa yang aku sampaikan. Aku juga ada kelemahan, yang kau perlu sampaikan. Kau jangan segan menyatakan tak faham, kerana dengan itu aku berpeluang untuk membantumu. Jangan segan sehingga kau tidak mahu berborak denganku – lantaran kau solat lewat pagi tadi. Aku juga pernah lewat. Jangan segan sahabat didikanku. Kita lebih kurang sama. Aku memerlukanmu untuk berbuat dan menguatkan amal.Jika kau tidak segan, dan kita sama-sama belajar, kita akan dapat menyiapkan banyak lagi kejayaan.

Aku ini sendiri sedang mendidik diri – agar tidak memandang sinis orang yang tidak banyak bacaan Quran-nya, lewat atau tidak ke masjid untuk solat atau berbuat maksiat. Aku memang tidak senang – kerana Allah juga tidak senang. Namun tidak senang itu bukan yang terbaik untukku sebagai hamba. Aku juga berbuat dosa. Aku tidak mahu ketika aku memandang sinis kau lewat solat, aku bongkak dan Allah menarik semula hidayah-Nya padaku. Kalau Allah pun rahmah dan rahim pada hamba-Nya yang berbuat silap, apatah lagi aku sebagai hamba. Aku juga sedang membina dan memantapkan emosiku berasaskan iman. Emosi berasas iman selalu melihat rakan didikannya dengan sifar penyayang dan pemurah. Penuh dengan sabar dan syukur. Penuh dengan kemuliaan. Kerana Allah Maha Penyayang. Maha Pemurah. Maha Sabar. Maha Syukur.

Aku harap kau faham apa yang aku harapkan. Mesej ini ringkas sahaja. Hanya satu. Iaitu dalam melewati denai didikan ini, kita membina diri masing-masing bukan sahaja pada intelek yang kekadang rakus dan tidak bertimbang-rasa. Namun kita akan akui kepentingan membina fizikal, emosi dan rohani yang mantap. Aku cintakan mu kerana Allah. Dan aku tidak mahu engkau menganggap aku ‘bukan orang yang diharapkan’.

P/S Nukilan ini adalah tazkirah diri untuk semua penggerak, qiadah, naqib, guru, ketua dan sesiapa sahaja yang mewakafkan masanya untuk membina diri insan menuju Allah.

Facebook Comments:

One thought on “Apa yang aku harapkan…

  • April 17, 2009 at 6:52 pm
    Permalink

    Bismillah

    Satu tazkeerah yang sgt mengena pada diri ini. Bila memikirkan keadaan sekeliling, kadang2 terasa diri ini superior dengan kelebihan yang ada. Lantas sedaya upaya menghilangkan perasaan superior tu kerana itu yang mengundang kesyirikan dlm diri. Semua kelebihan itu adalah kurniaan Allah dan segala kelemahan itu mempunyai hikmah dan pengajaran yang harus diteladani dari semasa ke semasa.

    Manusia dicipta berbeza keupayaan adalah kerana untuk mendidik manusia supaya bekerjasama kerana tahu, diri ini bukanlah seorang yg sempurna.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
TwitTarbiah 2009-04-17

@ainun_nadwah yep. it deals with the real meaning of 'eeman' in reply to ainun_nadwah # language is the blesing from

Close