Psikologi orang yang cenderung pada penzalim


Salah satu rukun untuk istiqamah ialah ‘jangan cenderung kepada orang yang zalim’. Apakah maksud ‘cenderung’ tersebut ? Salah satunya ialah bersandar dan merasa tenang  menurut Imam al-Qurtubi. Menurut Qatadah, “Jangan menjalin keakraban dan jangan taat kepada orang zalim.” Abu al-Aliyah memahaminya, “Jangan merestui amal-amal orang yang zalim, atau jangan bersikap lemah sehingga enggan mengingkari kekufuran.” Orang yang ‘cenderung’ dan menjadikan orang zalim sebagai rukun kehidupan mereka ini mempunyai masalah stamina emosi. Mereka tidak akan mampu istiqamah. Stamina emosi ini dijelaskan lagi dalam Surah al-Mukminoon ayat 1-11.

Surah al-Mukminoon amat dekat dengan istiqamah kerana ‘Qul Amantu Billah Thummas Taqim’. Iman amat penting diikuti dengan istiqamah. Kalau kita kaji iman yang berjaya, ia akan menerangkan apakah bahaya kalau ia tidak istiqamah. Istiqamah berlaku kerana 2 jangan dan 2 buat. 2 jangan itu ialah jangan melampau dan jangan cenderung kepada orang zalim. 2 buat ialah solat dan sabar.

Apakah psikologi orang yang cenderung kepada orang zalim?

  1. Percaya: Orang yang cenderung kepada orang zalim percaya bahawa orang zalim itu yang akan mampu memimpin atau memberi mereka makan. Orang yang cenderung ini percaya perubahan hanya mampu dilakukan oleh penzalim, bukan dengan izin Allah. Orang yang cenderung ini lebih ‘mengimarahkan’ pejabat penzalim berbanding rumah Allah.
  2. Fokus: Fokus orang yang cenderung ialah kepada orang yang zalim. Kalaupun solat, hilang khusyuknya kerana ingin ‘mengejar’ dan ‘memuaskan hati’ orang yang zalim. Solat akan dicepatkan kerana banyak sangat urusan yang belum selesai. Memfokuskan kepada orang zalim menyebabkan hati tidak kuat dan saling berkeluh kesan untuk menjaga hati orang zalim yang tidak pernah puas-puas.
  3. Ya/ Tidak: Orang yang cenderung tidak mampu menyatakan ya kepada perkara ya dan menyatakan tidak kepada perkara tidak. Orang yang cenderung ini tidak kuat. Dalamannya ibarat lalang. Kalau orang zalim cakap begini, ‘Yes tuan.” Kalau orang zalim cakap begitu, ‘Yes tuan.” Orang yang cenderung ini tidak ada stand atau pendirian dalam kehidupan.
  4. Pembersihan: Orang yang cenderung tidak mampu membersihkan diri. Mereka malah tidak suka BERSIH untuk diri sendiri kerana yang penting ialah mengikut si penzalim. Penzalim sudah tentunya penuh dengan kekotoran.  Apa yang berlaku kepada orang yang cenderung ini ? Mereka akan terpalit malah akan diselubungi dengan kekotoran serta kegelapan.  Maksud asal dzulm ialah kegelapan.
  5. Pasangan : Orang yang cenderung ini tidak memahami bahaya serta cabaran pasangan. Mereka redah sahaja dan tidak berhati-hati kerana yang penting saya mendapat perhatian penzalim, bukan perhatian Allah. Mereka sanggup berbuat kekejian dan munkar. Mereka sanggup untuk bercampur lelaki dan perempuan hatta pada tahap zina dan liwat kerana yang penting mereka ingin melaksanakan agenda penzalim.
  6. Tanggungjawab: Orang yang cenderung ini tidak sedar dan sensitif dengan tanggungjawabnya. Apa yang mereka cari ialah redha si penzalim. Apa yang mereka cari ialah dunia. Kalaupun mereka menyatakan ‘saya cari nafkah’ tetapi mereka tidak sebenar-benarnya bertanggungjawab kepada anak isteri. Mereka hanya menunaikan nafkah fizikal tetapi mereka tidak kisah halal, berkat dan nafkah intelek, emosi & spiritual. Mana mungkin ‘mengipas’ orang yang zalim itu akan meningkatkan iman dalam kehidupan seharian kerana ini ditempelak oleh Allah dengan ‘akan disambar oleh neraka’.
  7. Berjaga-jaga: Yang sensitif dan dijagai oleh orang yang cenderung ialah keinginan penzalim. Habis satu keinginan penzalim, akan ada lagi kerakusan lain oleh penzalim. Tugas orang yang cenderung ialah melihat ‘isu semasa dan keinginan penzalim’ untuk dijaga-jaga dan dipandang penting. Perkara lain tidak penting.

Begitulah buruknya stamina orang yang cenderung kepada penzalim. Stamina ini amat rapuh dan ia akan mewujudkan ketidakstabilan dalam diri individu yang cenderung kepada penzalim ini. Kalau diri tidak punya kekuatan stamina emosi untuk berjaya, sudah tentu sukar untuk berada di atas jalan yang lurus. Ihdinas siratal mustaqeem.

Facebook Comments:

Leave a Comment

More in Umum (58 of 385 articles)
balance