Koleksi ST-GalleryPOTENSI

Al-Iqraar, Al-Qasam dan Al-Miitsaaq Membentuk Iman

Seorang yang bersyahadah sebenarnya telah bersumpah, berjanji dan beriqrar kepada Allah sebagaimana mereka menzahirkan tiga kandungan syahadah itu tadi dengan meletakkan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Makna syahadah ini juga adalah selari dengan makna Islam itu sendiri iaitu tunduk, patuh dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Mereka yang bersyahadah sebenarnya juga telah meletakkan bahawa diri mereka sebahagian dari sistem ketaatan yang bersih dari sifat kehambaan kepada selain dari Allah s.w.t. yang Maha Agung.

Firman Allah di dalam surah Ali Imraan, 83 yang bermaksud;

 

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.

 

Jika dilihat di dalam firman tersebut, perkataan aslama itu merujuk kepada pengertian Islam itu yang membawa maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Dan ia juga merujuk kepada segala langit dan bumi ini sedang taat dan patuh kepada perintahNya. Tetapi kaum Yahudi ini melanggarkan dan memilih tidak taat kepada Allah dan nabiNya. Alam raya ini yang tersusun fitrah mengikuti dan tunduk kepada perintah Allah; dengan patuhnya peredaran planet-plant di angkasa, peredaran matahari, pertukaran siang dan malam yang tersusun dan pelbagai lagi perkara yang ada di langit dan dibumi ini di dalam keadaan mentaati perintahNya. Dan inilah ketaatan yang ada di langit dan dibumi dengan cara kita melihat akan fitrah fenomena di alam ini. Inilah bukti ketundukan alam.

Iman Tanda Bukti Ketaatan

Iman itu merupakan satu tanda dan tahap di mana ianya hanya ada pada sekalian manusia. Iman bererti keyakinan tanpa ada sebarang keraguan, penerimaan menyeluruh  tanpa ada rasa keberatan, keparcayaan tanpa pilihan lain terhadap semua perkara yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Persoalan yang timbul, adakah segala perintah Allah dan laranganNya itu menjadi satu bebanan terhadap sekalian manusia? Fenomena biasa jika kita sebagai pelajar, apabila pensyarah memberikan satu tugasan yang banyak, adakah akan timbul di dalam diri kita bahawa ianya satu bebanan tugas? Atau kita sebagai pekerja di sebuah syarikat, apabila boss memberi kita satu amanah yang berat untuk kita selesaikan, adakah kita akan rasa menyusahkan? Berbalik kepada persoalan tadi, adakah segala suruhan Allah dan larangan itu menjadi bebanan kepada manusia?

Iman itu adalah Ucapan (Al-Qaul)

 

Kita akan tinggalkan buat sementara persoalan itu tadi dan kita akan melihat bahawa iman itu dari segi kandungannya. Tanda keimanan itu adalah datangnya dari lisan manusia yang mana ia menggunakan perkataan atau ucapannya untuk menyatakan bahawa manusia itu sedang beriman.

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 8 yang bermaksud;

Di antara manusia ada yang menagatakan “Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian”, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.

 

Jika dilihat di dalam surah ini, ayat ini menerangkan segolongan manusia yang bergelar munafik. Surah Al-Baqarah banyak menerangkan cirri-ciri serta golongan-golongan manusia yang terdapat di muka bumi ini, iaitu manusia yang beriman, kafir dan munafik. Allah menegaskan di dalam ayat tadi bahawa terdapat orang-orang munafik tadi sedang menyatakan iman mereka sebagi tanda dan kesan iman di dalam diri mereka. Sedangkan mereka sebenarnya langsung tidak beriman kepada Allah dan RasulNya kerana berpura-pura.

Begitu juga di dalam surah Al-Munafiquun, Allah ada menerangkan secara khusus cirri-ciri orang munafik. Antara ayat yang terdapat di dalam surah ini yang mana mereka menjadikanucapan atau perkataan mereka itu dengan menyatakan iman mereka kepada Allah dan Rasul itu;

Apabila orang-orang munafik itu datang kepadamu, mereka berkata “Kami mengakui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah” dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta

 

Di dalam ayat ini, orang munafik menyatakan iman mereka menerusi perkataan atau ucapan kepada Allah, tetapi Allah mengetahui akan segala apa yang terdapat di dalam diri mereka. Tetapi berbeza bagi orang yang benar-benar mukmin, mereka menyatakan iman mereka menerusi perkataan iaitu seperti di dalam firman  Allah yang bermaksud; “Kami dengar dan kami taat”. Orang-orang mukmin yang benar di dalam imannya, akan menyatakan bahawa ketaatan itu akan disusuli selepas mereka mendengar suruhan dari Rasul, tetapi berbeza bagi mereka yang munafik dan kafir. Mereka dengar tapi mereka ingkar. Dan perkara yang paling tinggi di sisi Allah adalah mereka yang membenarkan di dalam hatinya.

Iman itu adalah Membenarkan (At-Tashdiiq)

 

Itulah perkara yang membezakan di antara orang munafik dan orang ang beriman. Orang beriman akan membenarkan di dalam hati mereka agar dapat membuktikan keimanan dan ketaqwaan mereka menerusi hati yang ikhlas. Mereka yang tidak ada ihsan di dalam diri mereka, maka mereka adalah goloongan yang tidak membenarkan hati mereka.

Membenarkan ini adalah satu sifat atau perilaku yang menerima satu amanah, tugas atau apa sahaja tanpa ada rasa keberatan atau pilihan lain terhadap apa yang di datangkan kepada orang beriman daripada Allah s.w.t. Firman Allah di dalam surah Al-Hujuraat, ayat 15 yang bermaksud;

Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar

 

Golongan orang yang benar-benar beriman itu adalah mereka yang tidak pernah disentuhi perasaan ragu-ragu di dalam jiwa mereka. Mereka adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan mereka juga meyakini akan keEsaan Allah s.w.t. serta kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak merasakan satu bebanan dan keberatan di dalam jiwa mereka walaupun mereka diminta turun ke medan jihad untuk mempertahankan Islam itu sendiri. Ini berikutan dari sifat yang telah dibenarkan di dalam jiwa orang yang beriman.

Mereka juga telah berkorban melalui jiwa dan harta benda mereka melalui jihad dan ini merupakan
satu pengorbanan dan pembenaran iman yang sahih di dalam jiwa orang yang benar-benar beriman. Tidaklah mereka merasakan bebaban terhadap apa yang disuruh Rasul berbanding orang-orang munafik yang mana mereka lebih menjadikan harta benda dan jiwa mereka itu sebagai satu tempat untuk memuaskan hawa nafsu dan suka beristirehat. Mereka tidak berani dan merasakan satu bebanan yang menyusahkan dalam jiwa mereka dan ini berikutan kerana mereka tidak ada kebenaran di dalam hati, iaitu taasdiiq.

Iman itu adalah Perbuatan (Al-Amal)

 

Iman yang sudah di buktikan menerusi hati iaitu dengan cara membenarkannya, akan membuahkan amal atau perbuatan. Perbuatan atau amal yang dilakukan ini merupakan satu pembuktian yang cukup tinggi dalam melahirkan satu kerja kerana Allah. Amal perbuatan ini juga sebenarnya harus diselangi dengan niat yang suci, iaitu ikhlas. Mereka (orang beriman) akan melaksanakan amal perbuatan ini dengan penuh motivasi yang tinggi dari Allah. Tidaklah amal ini dilakukan kerana menunjuk-nunjuk, tetapi mereka yang beriman ini adalah mereka yang melakukan seauatu perkara atau pekerjaan itu adalah dengan benar-benar mencintai (mahabbatullah) Allah.

Mereka yang tidak ikhlas di dalam amalnya, namun tampak mereka beriman dan melaksanakan perkara-perkara fardhu, namun , hati yang tidak membenarkan dan yakin, maka akan lahirlah perbuatan-perbuatan atau amal yang tidak suci dengan niat yang satu, iaitu kerana Allah. Hal ini samalah seperti golongan munafik yang mana mereka ini menjadikan semua amalan dan perbuatan itu dalam keadaan yang terpaksa dan berpura-pura sahaja.

(sumber tidak diketahui) Sabda Rasulullah; Tanda munafik itu ada tiga. Jika salah satu ada pada seseorang, maka ia merupakan munafik. Bila keseluruhannya ada sifat ini, maka ia munafik yang sesungguhnya iaitu; bila ia berbicara ia berdusta, bila ia berjanji ia mengingkari dan bila diberi amanh, ia khianat. Ketiga tanda ini termasuk jenis munafik amali

 

dan firman Allah di dalam surah At-Taubah, ayat 105 yang bermaksud;

dan katakanlah “ bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan itu dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan

 

Istiqamah Menuju Kebahagiaan (Saa’dah)

 

Istiqamah merupakan satu fitrah yang bersifat kekal dan berterusan di dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau suatu amalan, akan akhirnya membuahkan suatu nikmat. Bayangkan sebuah istana yang dibina oleh pekerja-pekerja buruh, yang mana ianya dibina setiap hari. Apakah hasilnya kelak? Sudah pasti istana tadi akan siap dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Tetapi bagaimana pula jika pekerja buruh tadi tidak menyiapkan pekerjaannya. Tambahan pula, tidak ada kesungguhan dan sering tertangguh, atau tidak istiqamah?

Istiqamah dalam menuju kebahagiaan di sini ialah bermaksud, mereka yang berpegang teguh di dalam syahadah. Ianya juga merupakan satu kesungguhan, komitmen, serta penumpuan yang bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t.

Firman Allah di dalam surah Hud, ayat 112-113 yang bermaksud;

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.

Inilah istiqamah yang ditetapkan di dalam Al-Quran. Istiqamh menuntut kepada genggaman yang cukup kuat di dalam memegang tali-tali Allah. Di dalam Ibnu Kathir, Allah menyeru kepada hamba-hambaNya yang beriman, agar mereka tetap berdiri teguh di dalam jalan yang benar, iaitu jalan yang hak, bukan kepada jalan yang batil. Oleh itu, istiqamah itu mempunyai tiga perkara asas iaitu,  konsisten, tetap dan teguh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Kandungan Kalimah Syahadah

Perkara yang biasa kita dengar adalah, apa bila ditanya akan semula berkenaan dengan syahadah, mereka pasti dapat mengikrarkan nya semula

Close