Koleksi ST-GallerySistemik

Fikir Antara Dua?Kita Umat Wasatan


Antara statik dan dinamik

Selayaknya umat Islam tidak statik dalam berfikir. Apabila kita hanya memberi fokus pada sesuatu perkara atau peristiwa dalam menganalisa masalah seharian, ia adalah statik padahal bagi umat wasatan, kita perlu dinamik menganalisa sesuatu cabaran dalam kehidupan.

Sebagai contoh, dalam menganalisa tarbiah semasa, memberi fokus pada program liqa’ usrah atau program adalah satu perkara yang bagus. Namun jika ia diberi nafas dinamik, tarbiah itu wajar disekalikan dengan apa-apa sahaja program lain yang boleh mendatangkan manfaat kepada seseorang individu. Beradanya dalam kelas, tempat kerja, masalah harian, keluarga dan banyak lagi perlu menjadi medan tarbiah. Dengan gaya ini, unsur statik dapat diminimumkan dalam menghadapi dunia yang dinamik serta penuh dengan perubahan. Kurangnya tumpuan kepada unsur dinamik menyebabkan ada individu yang tidak rasa ‘selesa’ kerana kepesatan perubahan yang berlaku di sekeliling.

Antara kesan dan sebab

Apa-apa cabaran dalam tarbiah perlu dianalisa dengan melihat sebab dalaman dan bukan sekadar menuding kesan dari luar. Usrah yang kurang ‘mengisi kehausan’ bukanlah disebabkan ‘individu luar’ yang menuding jari usrah ini hanya duduk-duduk sahaja. Namun adalah penting untuk kita melihat sebab mengapa usrah dipandang sedemikian dan bagaimana kita menyelesaikannya. Apabila sebab dalaman diperhatikan, setiap naqib akan meletakkan penyelesaian yang customized  samada dari segi penyampai mahupun pendengar. Tetapi jika dituding kepada anasir atau sebab luar, si naqib atau ahli usrah itu sendiri tidak akan berbuat apa-apa.

Antara melihat pokok dan hutan

Mengetahui sesuatu maklumat tidak semestinya bermaksud bahawa kita memahami sesuatu perkara. Apabila kita melihat pada sepohon pokok dalam hutan, ia tidak bermaksud kita mengetahui tentang tempat itu keseluruhannya. Namun apabila kita memandang hutan tersebut, kita akan nampak pertalian yang wujud sehingga kita mampu bersedia sewajarnya – samada boleh santai berborak atau perlu bersedia panjat pokok kerana ada kemungkinan beruang atau harimau akan muncul.

Di sinilah kepentingan memerhati sesuatu masalah secara menyeluruh – bukannya sekadar berpuas hati dengan maklumat yang terhad dan terpisah-pisah. Apabila masalah individu dalam tarbiah diperhati tanpa menyeluruh, ia akan menyebabkan si naqib akan gembira kalau anak usrahnya hadir usrah dan sedih serta bimbang kalau tidak kunjung tiba. Padahal bagi naqib yang memerhati secara menyeluruh, mungkin kehadiran individu tertentu setiap masa menyebabkannya sedih. Mengapa? Itu sahaja sumber tsaqafahnya walaupun sepatutnya beliau mencari sumber lain untuk tarbiah dan kreatif melaksanakan dakwah. Penilaian yang adil amat penting dalam hal ini.

Antara faktor dan operasi

Apakah faktor yang menyebabkan anak usrah hadir? Apakah faktor yang menjadikan sesuatu usrah itu baik? Kekadang faktor yang dibincangkan sudah dilaksanakan, namun usrah masih tidak menyeronokkan atau berbaloi bagi sesetengah orang. Mengapa ? Ia tidak mengambil kira operasi usrah itu sendiri. Ada usia yang berbeza, tahap kecergasan, kewangan, kebajikan dan pelbagai aspek lain yang kekadang dianggap ‘kecil’ tetapi dalam aspek operasi, ia amat penting untuk memastikan sesuatu itu efisien.

Antara Garis Lurus dan Lingkaran Tertutup

Bagaimana menyelesaikan cabaran yang ada? Ada individu yang menyatakan bahawa ahli usrah tidak hadir usrah kerana ahlinya tidak komited dan berdisiplin. Ada pekerja yang tidak hadir on-time dianggap kurang berdisiplin dan tidak serius. Namun sedarkah bahawa si naqib atau boss memberi saham kepada perkara tersebut? Apabila berfikir dengan kaedah lingkaran tertutup, sesuatu perkara ada kaitan dengan sebab pelbagai. Hal ini akan menyebabkan kesan seterusnya. Apabila anak usrah tidak hadir, ia akan menyebabkan perspepsi naqib ke arah  ‘kurang perlu beri perhatian’ atau ‘tak perlulah nak ingatkan selalu’ menyebabkan hubungan naqib dan anak usrah akan renggang serta makin jauh. Naqib yang sedar hal ini akan membaiki dengan cara terbaik seperti tetap senyum, menjelaskan pendiriannya dengan jelas serta menunjukkan kepercayaannya masih tidak pudar. Yang penting: alihkan fokus naqib kepada individu itu daripada aspek negatif (memandang kesilapannya) kepada positif (tanya pendapat, pengetahuan atau kelebihannya).
Berfikir secara garis lurus menekankan satu pihak sahaja yang bertindak atau melakukan kesilapan dalam sesuatu perkara.

Antara Pengukuran Dan Kuantitatif

Mencari data yang dinilai dan diukur secara sempurna adalah baik tetapi ia boleh membuang masa. Dalam tarbiah, ada individu yang inginkan anak buahnya menghabiskan bacaan beberapa buku yang di-assign-kan. Apabila selesai, si naqib berpuas hati walaupun tahap kefahaman tidak semestinya jelas. Dalam realiti, kita memang mampu untuk menilai tetapi dalam kadar yang wajar dan perlu memenuhi tujuan penilaian tersebut. Menilai berapa banyak buah buku dan sejauh mana kefahaman pada buku-buku tersebut adalah berbeza. Antara starategi yang baik ialah mengetahui jumlah buku dan dalam masa yang sama, melihat berapa banyakkah yang difahaminya dengan aktiviti soal-jawab atau latih tubi.

Antara Membuktikan-Saya-Benar dan Saintifik

Ramai yang ingin menyatakan bahawa dirinya benar. Namun ada banyak cara yang sesuai untuk memastikan kita tidak tersasar daripada kaedah yang sepatutnya. Budaya saintifik ialah membuktikan diri salah. Manakah yang sesuai dalam kemelut kita menyelesaikan masalah?

Jika diteliti dengan baik-baik, kaedah saintifik amat sesuai bagi umat manusia. Mengapa? Kerana ia menunjukkan sifat kehambaan yang sebenarnya, walaupun kita sudah ada agama Islam yang tidak dapat disangkal lagi kebenarannya. Ketika dalam suasana diskusi dan menawarkan sesuatu idea, kita perlulah bertindak dengan rendah hati tetapi kebenaran tetap menjadi asas. Ini penting kerana apabila kita merasakan diri sentiasa benar, ia akan menimbulkan rasa bongkak atau menutup peluang ilmu baru untuk membetulkan diri kita. Masa untuk menyatakan kebenaran dan berfikir secara saintifik memerlukan hikmah yang amat luas – pastinya dengan banyak berinteraksi dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Kesimpulannya, teknik berfikir di atas perlu di ambil kira dalam melihat sesuatu perkara. Apabila setiap individu mampu berperanan mengikut kaedah yang betul dan baik, banyak cabaran dapat diatasi dengan baik dan berhikmah. Hikmah adalah sesuatu yang hilang di kalangan orang Mukmin. Di mana sahaja kita bertemu dengannya, ambillah dengan semangat ihsan dalam Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Read previous post:
Pendakwah Air Kacang Soya 45

”Gerai kita tu macammana pula? Nak bawa ke IPT sekali ke?” Tanya Nas ”Buat masa ni, abang rasa tak perlu...

Close