Perlukan sedikit kesabaran


Allah berfirman tentang perkara di atas dalam Surah al-Baqarah ayat 45:

 

﴿وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ
وَالصَّلَوةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَـشِعِينَ  ﴾

 

2:45. Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’,
 

Dalam tafsir, Imam Ibn Katheer menyatakan bahawa Allah menyeru untuk menjadikan kesabaran dan solat  bagi mendapat kebaikan di dunia mahupun di akhirat. Muqatil bin Hayan menyatakan bahawa ayat ini bermaksud: "Jadikan kesabaran dan solat untuk mendapatkan akhirat. Kesabaran yang dimaksudkan di sini, menurut mereka ialah ‘berpuasa’. Mujahid juga menyatakan perkara yang hampir sama. 

 

Imam Qurtubi dan beberapa ulama lain memberi komen, "Itulah sebabnya Ramadhan dinamakan bulan kesabaran sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith."  Ia juga dinyatakan bahawa ‘sabar’ dalam ayat ini bermaksud menjauhi perkara buruk, dan inilah sebabnya ia dinyatakan sekali dengan ibadah yang penting – solat. Umar al-Khattab menyatakan: " Ada dua jenis kesabaran: kesabaran yang baik ketika datang musibah dan kesabaran yang lebih baik ialah ketika menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah."

 

Ibn Abi Talhah meriwayatkan bahawa  Ibn `Abbas memberi komentar tentang ayat ini, "Mereka yang (Al-Khashi`in) adalah mereka yang percaya pada apa yang diturunkan oleh Allah (dalam al-Quran).” 

 

Apa yang lebih menarik, ayat ini diikuti dengan ayat berikutnya yang mempunyai mesej amat penting:

 

﴿الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم
مُّلَـقُوا رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَجِعُونَ ﴾

 

2:46 Iaitu orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka
akan kembali kepada-Nya.

 

Individu yang sabar dan solat – bagaimanakah mereka ?

 

Secara tidak langsung, kita akan dapati bahawa orang yang percaya pada wahyu Ilahi serta yakin pada pertemuan dengan Allah sahaja yang akan menjadikan sabar dan solat sebagai kaedah untuk memohon pertolongan dari Allah.  Mengapa sedemikian? Lantaran kalau tidak yakin, sudah tentu seseorang itu akan berusaha sendiri untuk menyelesaikan segala perkara menggunakan kudratnya padahal yang berkuasa adalah Allah. Malah lebih teruk, ia akan melaksanakan dosa dan permusuhan kerana individu tersebut tidak meletakkan sabar dan solat sebagai asas. Dosa dan permusuhan ini bukanlah galakan daripada Allah sebagaimana dalam surah al-Maidah ayat 2:

 

﴿وَتَعَاوَنُواْ
عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ
وَالْعُدْوَانِ﴾

 

 

 

5:2 Dan bertolonglah kamu atas kebaikan dan taqwa dan janganlahkamu bertolongan atas dosa dan permusuhan

 

Semoga kita menjadi orang yang mampu sabar dalam kehidupan. Banyak perkara yang perlukan sedikit sahaja lagi kesabaran. Cuba bayangkan kalau Rasul tidak sabar hasil dakwahnya – pasti beliau sudah kecewa pada peringkat awal. Hasil sesuatu perkara itu mungkin datang sebulan, setengah tahun, setahun atau setelah beberapa sela masa. Yang penting, apakah niat kita sebenarnya dalam kehidupan.  

 

 

 

 

Related posts:

  1. Antara reaktif dan proaktif

Facebook Comments:

Leave a Comment

More in Umum (360 of 371 articles)