5 Rukun Membina Negara


“Saya cintakan negara ini.”
“Kalau begitu, binalah negara ini bersama.”
“Apa panduan dalam al-Quran?”
“Salah satunya Surah al-Balad”

Usaha membina negara ialah Aqabah

Apakah cara untuk membina negara? Sebelum dijelaskan secara rinci, Allah membawakan dalam Surah al-Balad tentang psikologi membina negara dan negeri: aqabah – seperti mendaki gunung yang tinggi. Ia payah. Kalau boleh duduk rumah bergoyang kaki.

Malah lebih dari itu, ada realiti manusia yang perlu diberi perhatian dalam Surah al-Balad:

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (90:4)

Selepas bekerja keras untuk mendapatkan harta dan kejayaan, lebih mudah untuk goyang kaki. Manusia ini serba payah dalam kehidupannya – pasti akan mencari masa untuk hidup senang dan tidak perlu bersusah payah untuk orang lain.

“Aku sudah banyak berkorban” dan ‘comfort zone’ memusnah negara

Perkataan lain yang menghalang sesebuah negara atau negeri terbangun ialah perkataan ‘saya sudah banyak berkorban. Bagilah orang lain..orang muda..orang negeri lain…”

Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). (90:6)

Sifat selesa dan ‘comfort zone’  ini ditegur oleh Allah yang memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya.

Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (90:8) Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (90:9)

Dalam ayat di atas, Allah memberikan seseorang itu pelbagai nikmat untuk menuju kejayaan. Nikmat ini bukan untuk mendabik dada tetapi untuk dimanfaatkan dalam hidupnya bagi membantu orang lain. Apakah yang perlu dibantu?

5 Rukun Membina Negara

Dalam ayat 13-17, ia dinyatakan oleh Allah:

1. Merdekakan hamba

Hamba kepada hutang, hamba kepada seks, perhambaan kanak-kanak dan pelbagai perhambaan berlaku dalam dunia sekarang. Ia perlu dibebaskan dengan sungguh-sungguh. Ini tugas aqabah.

2. Memberi makan pada hari lapar

Ada orang lapar? Kekadang seseorang itu ada duit, tetapi tidak mampu membeli makanan kepada duit dalam ATM dan kad sudah hilang. Ini tugas aqabah.

3. Menjaga anak yatim dan kaum kerabat

Anak yatim dan kaum kerabat adalah orang penting dalam negara ini. Apabila masing-masing menjadi anak yatim dan kaum kerabat, ia akan mewujudkan rakyat yang mandiri dan tidak mengharapkan subsidi kerajaan sahaja untuk meneruskan kehidupan.

4. Menjadi orang miskin yang terlantar atas debu

Orang miskin di atas debu melambangkan kedaifan yang dahsyat. Banjir di Kelantan dan beberapa kawasan pada 2015 dan negeri lain menjadikan orang yang beratapkan langit, berlantaikan debu tanah. Ia bukan tugas orang tertentu, tetapi tugas mereka yang menuju jalan mendaki – aqabah.

5. Iman serta menasihati dengan sabar dan kasih sayang (compassion)

5 perkara di atas adalah amat penting. Malah 4 perkara pertama menjadi keutamaan ahli masyarakat dan pemimpin negara untuk diuruskan dengan baik. Insha-Allah selepas 4 perkara ini menjadi agenda negara, ia akan membawa kepada perkara 5 – pemimpin dan rakyat akan selalu menasihati dengan sabar dan kasih sayang.

Formula kerajaan dan rakyat saling kasih sayang

Mengapa sabar dan kasih sayang berada di hujung? Ia tidak mungkin wujud kalau 4 perkara tidak dilaksanakan antara pemimpin dan rakyat. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Cerita-cerita perkara 1-4 perlu ditonjolkan tanpa membangkitkan siapa yang buat semata-mata. 4 perkara ini perlu dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan agama.

Komitmen 4 perkara ini akan menjadikan negara makin harmoni. Harmoni ini hadir dengan kasih sayang yang berpunca dari empati dan keprihatinan antara pemimpin dan rakyat.

Ahli syurga membina negara

Syurga adalah janji Allah kepada mereka yang melaksanakan 5 perkara ini untuk menuju kepada-Nya.

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga). (90:18)

Ini adalah satu penghargaan yang amat tinggi dari Maha Pencipta. Usaha keras membina negara dengan 5 perkara ini ialah tindakan ahli syurga. Ahli syurga membina syurganya di sana dengan membina syurganya di sini terlebih dahulu. 5 rukun ini menjadi asas untuk negara ini makin mantap dan menjadi mini syurga sebelum beroleh syurga sebenar-benarnya.

Ingin merdeka?

Ketika utusan kaum muslimin, Raba’I bin Amir, Huzaifah bin Muhsin dan Mughirah bin Syu’bah berdiri di hadapan Rustum, panglima perang Parsi ,mereka berkata,

“Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan (perhambaan) terhadap sesama manusia, kepada penyembahan terhadap Tuhan manusia…”

Sempena tarikh kemerdekaan kali ke-60, sudah pasti perhambaan sesama manusia ini perlu dilupuskan agar rakyat Malaysia boleh terus bebas sebaik mungkin menuju negeri abadi di syurga Allah.

Facebook Comments:

Leave a Comment

Read previous post:
Memaknai Sunnatullah secara benar

"Aku sudah berusaha." "Betulkah sudah betul-betul berusaha? Bagaimana dengan doa pula?" "Juga aku dah buat. Tapi nampak masih tidak berjaya."...

Close